Showing posts with label ilmu yang dapat. Show all posts
Showing posts with label ilmu yang dapat. Show all posts

Monday, 6 December 2010

PerbAharui NiAt SEnTiasa...

Selamat menyambut tahun baru hijrah, syukur kepada Allah s.w.t masih memberi kita peluang untuk memperbaiki diri untuk menjadi seorang hamba Allah yang sentiasa taat segala perintah dan meninggalkan segala laranganNya. Bagaimana rupa buku catatan amal kita tahun lepas? Adakah penuh dengan amalan baik atau pun sebaliknya. Mudah-mudahan segala amalan kita diterima dan diganjari Allah dengan pahala. Amin.

InsyaAllah buku catatan baru telah diterima, dan alangkah bermaknanya jika kita mulakan HIJRAH dengan niat semata-mata hidup dan matiku kerana Allah sebagaimana perjanjian kita 5 kali sehari yang diulang-ulang setiap hari didalam solat. InsyaAllah kita akan sentiasa perbaharui niat lagi dan lagi .

Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan. (al-An'am : 162-163).


Dan pasti disepanjang perjalanan hidup didunia ini kita tidak lepas dari bermacam-macam cabaran dan kadangkala manusia yang fitrahnya lemah dan lupa sering melupakan janji-janji yang telah dilafazkan, kerja-kerja seharian yang dilakukan adalah untuk riya' , mahu menunjuk-nunjuk dan untuk disanjungi manusia lain . Segala perbuatan kita untuk kesenangan dunia semata-mata padahal hidup yang lebih panjang dan lebih bermakna adalah di akhirat kelak. Dan jika itulah yang kita cari jangan lupa azab Allah sebagaimana firmannya:

Sesiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, Kami akan tunaikan kepadanya ganjaran yang amalan baik didunia, dan balasan mereka tidak akan dikurangkan sedikitpun didunia. Merekalah orang yang tidak akan mendapat apa-apa pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka. (Hud:15&16)


Segalanya bermula dengan niat. Betulkan niat dan sentiasa perbaharui niat..hidup dan matiku kerana Allah. Saya kongsi satu hadith yang baru saya dapat dalam usrah semalam, dimana apabila hadith ini dibaca kepada Muawiyyah, dia terus menangis sehingga pengsan. Sama-sama kita merenungkannya kenapa Muawiyyah boleh menitiskan air mata..

Muslim meriwayatkan kepada hadis Abu Hurairah r. a: Saya mendengar Nabi s.a.w bersabda:

Sesungguhnya manusia pertama yang dibicarakan pada hari Kiamat ialah seorang lelaki yang mati syahid. Dia dibawa untuk hisab , lalu Allah memperingatkannya tentang nikmat-nikmatnya. Dia pun mengakuinya. Allah berfirman: " Apakah yang telah kamu buat dengan nikmat-nikmat itu ?" Dia menjawab: "Aku berjihad di jalan-Mu sehingga aku mati syahid, " Allah berfirman "Bohong! Tetapi kamu telah berperang supaya kamu digelar orang yang berani dan itulah yang telah dikatakan kepada kamu. " Kemudian diperintahkan supaya dia dibawa ke neraka, lalu dia diheret atas mukanya hingga dihumban ke neraka.

Dibicarakan pula seorang lelaki yang telah mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran. Dia dibawa untuk hisab . Allah memperingatkannya tentang nikmat-nikmatnya, lalu dia mengakuinya. Allah bertanya: "Apakah yang kamu lakukan dengan nikmat-nikmat ini?" Dia menjawab: " Aku mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran kerana-Mu." Allah berfirman :" Bohong! Tetapi kamu mempelajari ilmu supaya kamu digelar alim. Kamu membaca al-Quran supaya kamu digelar qori. Itulah yang telah dikatakan kepada kamu ." Kemudian diperintahkan supaya dia di buang ke neraka , lalu dia diseret di atas mukanya sehingga dihumban ke dalam neraka.

Didatangkan pula seorang lelaki yang Allah berikan kesenangan dan pelbagai harta. Dia dibawa untuk dihisab, lalu Allah memperingatkannya tentang nikmat-nikmatnya. Dia mengakuinya. Allah bertanya: " Apakah yang kamu lakukan dengan nikmat-nikmat itu?" Dia menjawab :"Aku tidak meninggalkan sesuatu jalan kebajikan yang Engkau sukai melainkan aku bersedekah kepadanya kerana-Mu." Allah berfirman: " Bohong! Tetapi kamu buat begitu supaya kamu digelar pemurah, dan itulah yang telah dikatakan kepada kamu. " Kemudian diperintahkan agar dia dibawa ke neraka. Dia pun diseret di atas mukanya, kemudian dihumbankan ke dalam neraka.


Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lintasan hati kita walaupun sebesar zarah. Dan betapa mahalnya harga syurga..pemeriksaan yang sangat ketat bagi mereka yang ingin memilikinya. Namun untuk memilikinya adalah dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah. Kena jaga niat selalu.

Dan jika seseorang mendapat pujian dengan amalan ihklasnya itu adalah pujian yang Allah s.w.t campakkan kedalam hatinya, lalu dia bergembira dengan kurniaan dan rahmat Allah s.w.t.

Dalam satu hadith lagi diriwayatkan daripada Abu Zarr r.a bahawa Nabi s.a.w telah ditanya tentang lelaki yang melakukan amalan baik dan dipuji kerana melakukan tersebut. Baginda menjawab:
Itulah berita gembira yang disegerakan untuk orang mukmin.
Ia diriwayatkan oleh Muslim. Ibnu Majah juga meriwayatkannya dengan lafaz:

Seorang lelaki melakukan amalan kerana Allah, lalu dia disukai oleh manusia kerana amalan itu.

Tidak salah jika kita menerima pujian itu adalah juga tanda rahmat Allah namun jangan cepat lupa diri dengan pujian kerana disana juga ada syaitan yang menggoda dikhuatiri riya' pula yang timbul. Terimalah pujian dengan Alhamdulillah dan Astagfirullah.

Dan saya ambil dari sebuah buku kata-kata Sahl bin Abdullah at-Tustari: Tiada sesuatupun yang lebih susah ke atas nafsu seseorang berbanding dengan ikhlas, kerana nafsu tidak mempunyai apa-apa habuan dalam ikhlas.

Yusuf bin al-Husain ar Razi berkata: Sesuatu yang paling berharga di dunia adalah ikhlas. Banyak kali saya bersusah payah untuk menggugurkan riya' daripada hatiku. Seolah-olah riya' tumbuh didalam hatiku dengan warna yang lain.

Ibnu 'Uyainah berkata : Antara doa Muthorrif bin 'Abdullah:

Ya Allah , aku mohon keampunan-Mu terhadap dosa yang telah aku bertaubat kepadamu, kemudian aku melakukannya semula. Aku meminta keampunan-Mu terhadap apa yang telah aku janjikan kepada-Mu, kemudian aku tidak tunaikannya. Aku meminta keampunan-Mu terhadap sangkaanku bahawa aku hanya inginkan keredhaa-Mu, lalu hatiku bercampur dengan apa yang Kau ketahui.

Hidup baru dengan perbaharui niat. Menuntut ilmu kerana Allah, memasak kerana Allah, menjadi doktor kerana Allah, menyayangi anak kerana Allah, menghormati suami kerana Allah, menulis kerana Allah, bercakap kerana Allah, semuanya kerana Allah.

Tetapi walaupun niat dah betul perbuatan juga kena betul, kenalah mengikut al-Quran dan Sunnah..:) . Semoga tahun baru ini adalah yang terbaik.



Wednesday, 26 May 2010

unggul dan berprestij..

Saya ni jarang baca atau dengar seerah sahabiyyah, yang selalu baca atau dengar adalah tentang para sahabat . Mungkin kerana dari kecil kurang didedahkan kisah wanita-wanita yang hebat di zaman Rasulullah kecuali kisah Khadijah, Aisyah dan Fatimah…alasanlah ni.,

Detik bermula ingin mengetahui kisah Sahabiyyah pabila saya dikehendaki menyampaikan kisah sahabiyyah pada satu pertemuan. Awal-awal saya menolak sebab takder buku tapi mak naqibah terus kata dia ada buku dan terus meminjamkan saya satu buku yang cantik kulit nya secantik tajuk nya- 35 Sirah Shahabiyyah penulisnya Mahmud Al-Mishri. Terus berminat untuk membelek-beleknya. Ada 35 orang ni nak pilih yang mana? Yang pertama nak baca yang tak terkenal dan tetiba nak tahu cerita tentang Asma’ sebab teringat seorang kawan nama dia Asma’. Kenapa nama Asma’ dipilih?

Saya pun baca dan baca. Bila jer habis baca tetiba tercari-cari dan tertanya-tanya kenapa ada satu cerita yang selalu dengar tentang Asma’ ni takder diceritakan disini. Kemudian teliti semula nama dia….oh bukan rupanya ni bukan cerita Asma’ binti Abu Bakar. Ini cerita Asma’ lain rupanya.

Siapakah Asma’ kali ini?

Asma’ binti Umais atau gelaranya Wanita yang Bernikah Dengan Tiga Ahli Syurga.

Jika kita baca kisah perang Mu’tah kita akan teringat dengan pesanan Rasulullah kepada 3 panglima perang yang akan ganti menggantikan siapa sekiranya seorang syahid.

Panglima perang kedua dalam peperangan yang sangat sengit, Ja’far b, Abu Thalib dengan kekuatan dan demi Islam tercinta panji sama sekali dijulang walaupun satu demi satu tangannya hilang masih tetap memastikan panji tetap berdiri dan apabila membaca kisah perang Mu’tah kisah inilah yang saya ingat dan tidak pernah terfikir saya untuk mengetahui siapakah isteri sahabat yang shahid ini. Dan rupanya panglima perang yang hebat yang hilang kedua tangan inilah beristerikan  Asma’ binti Umais. Kemudian setelah Ja’far syahid, suaminya adalah Abu Bakar dan setelah Abu Bakar , suaminya adalah Ali bin Abu Thalib. Kisah Asma’ menceritakan dirinya yang begitu setia dengan suami dan sentiasa menyebut kebaikan suami walaupun telah meninggal dunia dan kekuatan jiwa dengan berpuasa dan solat malam.

Bila habis baca apa yang saya terfikir jika zaman sekarang ni mungkin kita sering ingin tahu eh polan ni kawin dengan saper ek? Saper isteri polan ni ek? Lebih-lebih lagi jika polan itu ‘somebody’. Senang kata bergosip memang suka  Tapi kenapa semangat ingin tahu itu tidak kepada sirah sahabat-sahabat Rasulullah yang jika mengetahuinya akan meningkatkan iman kita, berbeza dengan ‘somebody’ zaman moden ni yang tidak akan beri faedah apa-apapun takut-takut menambahkan dosa lebih lagi kerana mengata itu tak kena ini tak kena.

Saya masih ingat masa dengar ceramah Maulidur Rasul daripada Ustaz Maszlee..Mengapa kita perlu tahu sejarah? Salah satunya apabila kita baca sejarah tokoh kita akan merasa ingin menjadi sepertinya, membaca dan memperingati sejarah kegemilangan kita kan berusaha kearah itu dan memperingati sejarah kejatuhan kita kan jadikan sebagai sempadan dan tauladan supaya tidak terjadi kali kedua begitu juga jika sejarah keperitan peperangan diperingati akan dapat tanamkan semangat perjuangan yang kuat. Banyaklah contoh-contoh sejarah yang ustaz bagi salah satu nya kenapa Kamal Attaturk masih disegani rakyatnya walaupun jahat dan bagaimana Iran hebat tenteranya.

Hanya dengan tahu akan menjadi mahu…:). Jangan dilekehkan sejarah dan baca kisah-kisah sahabiyyah untuk ditanam dalam jiwa diri anak-anak sejak kecil lagi untuk menggantikan sinonimnya anak kecil dengan cerita-cerita dongeng puteri-puteri Disney..Cinderella, Snow White dan sebagainya yang akhir ceritanya kawin dengan putera raja hidup bahagia.

Peringatan untuk saya dan juga kita sebagai mama,ibu,bonda,mak,ummi,mummy dan apapun panggilannya untuk bina jati diri yang unggul dan solehah dalam diri kita dahulu. Tapak semaian yang subur dan baik akan mengahsilkan tanaman yang membesar dengan kuat dan sihat. Pabila kita cerita kepada anak-anak mudah-mudahan tertanam di hati dan fikiran anak-anak ingin menjadi seperti mereka yang tinggi semangat perjuangan, anggun dan berprestij dalam kaca mata nilaian iman dan islam.

Ada beberapa ungkapan tentang wanita yang saya jumpa yang sangat indah:

Wanita-‘Senyumnya adalah rahsia yang tersingkap,tangisannnya adalah rasa hati dan kemarahannya adalah pemberontakan kasih sayang’

‘Wanita dimasyhurkan kerana tidak ditonjolkan. Ia tersembunyi biarpun hadirnya menggegarkan’

Akhir sekali sebagai peringatan untuk saya dan kita bersama supaya kita wanita menjaga pergerakan dan kata-kata cukup dengan pesanan Rasulullah bahawa kebanyakan wanita adalah penghuni neraka.

Tuesday, 27 April 2010

kedekutkah kita ?

Sabtu lepas saya sempat menghadiri Sesi dan Charity Dinner Misi Kasih Palestin.

Antara ucapan yang terkesan dihati saya adalah ucapan daripada Pengarah PACE.

Sekiranya rakyat Palestine bersedia menjadi saff dihadapan untuk mempertahankan tanah suci Islam, siapakah yang akan menjadi saff dibelakang jika tidak diri kita. Adakan kita masih boleh bergelak ketawa dan masih tidak peduli jika sekarang pihak musuh sedang cuba merobohkan Al Aqsa dan menggantikannya dengan kuil-kuil mereka. Apa yang akan kita jawab dihadapan Allah kelak?

Adakah hanya dengan malam ini sahaja sumbangan yang kita berikan untuk Palestin??? Berilah bantuan berterusan dengan rezeki gaji yang diperolehi untuk peruntukan menyara dan mengambil anak angkat Palestine yang suatu hari nanti akan menjadi mujahid. Sekiranya kita tidak mampu berjihad insyaAllah saham anak-anak mujahid ini akan kita perolehi di akhirat kelak

Sesuatu yang saya terfikir dan muhasabah untuk diri sendiri juga. Beruntungnya rakyat Palestine Allah memilih mereka untuk mempertahankan tanah suci Islam lebih daripada nyawa mereka. Tidakkah kita rasa malu jika kita hanya sibuk dengan urusan seharian, hanya berada didalam zon selesa, kita tidak peduli saudara-saudara Islam yang memerlukan kita. Berkirakah kita untuk mengeluarkan wang untuk menderma dan dan masa untuk menghadiri dan merancang program-program kesedaran Palestine ini.

Kadangkala kita selalu berkira masa untuk menghadiri majlis-majlis ilmu yang memberi kita sentuhan, peringatan dan kefahaman tentang Islam, lebih-lebih lagi jika ia dihujung minggu. Kadangkala ia hanya seminggu sekali atau sebulan sekali….tetapi itulah kita seolah-olah telah habis masa kita untuk bersama keluarga,bershopping kita dan berehat kita. Kita lupa detik nafas dan masa adalah pemberian Allah. Seolah-olah masa itu adalah milik kita 100%. Kedekutnya kita….kita tidak mahu keluar dari zon selesa. Bayangkan mereka di Palestine adakah sempat untuk mereka memikirkan itu semua yang ada hanya masa untuk syahid.

Benarlah sebagaimana Allah berfirman didalam surah Al Asr “Demi Masa Sesungguhnya manusia didalam kerugian…”


Kenangan manis di Charity Dinner Misi Kasih Palestine anjuran MSM Sheffield 2010.



charity dinner mkp

Ya Allah Engkau mengetahui bahawa..

hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi Mu
Bertemu untuk mematuhi perintah Mu
Bersatu memikul beban dakwah Mu
Hati-hati ini telah mengikat janji setia..
untuk mendaulat dan menyokong syariatMu

Maka eratkan lah ya Allah akan ikatannya
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini
Tunjukkanlah kepada hati-hati ini..
akan jalannya yang sebenar
Penuhkanlah piala hati ini..
dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada Mu
Hidup suburkanlah hati-hati ini..
dengan makrifat, pengetahuan sebenar tentangMu

Jika Engkau mentakdirkan mati
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini..
sebagai para syuhada' dlm perjuangan agama Mu
Engkau lah sebaik-baik sandaran..
dan sebaik-baik penolong ya Allah
Perkenankanlah permintaan ini
Amin ya rabbal A'alamin..

Monday, 30 November 2009

Muroqabah

Kali ni aku membaca tajuk Muroqabah dari Riadhus Shalihin helaian ke 82. Apa maksud Muroqabah ni..?

Pertama kali kusampai di UK setiap kali ingin kemana-mana suami pasti pasang 'tom-tom'...(satellite navigation). Dan kekadang tu "tom-tom" bagi bunyi isyarat.

"Abang bunyi apa tu" tanya aku pada suami yang sedang memandu, maklumlah kat Malaysia tak guna pun 'tom-tom' ni.

"Ohh itu isyarat supaya ikut had sebab ada camera kat depan" jawab suami saya.

"Ohhh..ok padanlah asyik-asyik bunyi" balasku ringkas.

Kebetulan memang ada sign board speed camera sebagai peringatan supaya perlahankan pemanduan mengikut had yang dibenarkan. Secara automatik semua kereta perlahan dan sekiranya speed camera tidak berfungsi pun kita akan dapat tahu, ''tom-tom'' bagi tahu.

Itulah salah satu perbezaan yang dapat dirasa rasa di UK. Jika di Malaysia kita tidak tahu dimana letaknya speed cameras/trap , kekadang tu dalam semak-semak tersembunyi , takde signal pun, tahu-tahu dapat surat saman..:) . Kesannya pemandu benci kepada peraturan. Berbeza di UK setiap pemandu mudah mengikut peraturan. Orang-orang UK telah dilatih sebegitu sentiasa rasa diawasi.

Itulah sikap manusia jika rasa diri diawasi pasti kita akan melakukan sesuatu mengikut tatatertib yang ditentukan bukan mengikut kehendak diri sendiri kerana jika terperangkap pasti tidak terlepas kerana telah ada bukti 'live'.

Bagaimana didalam Islam?

Bersama kita renungkan peringatan Allah kepada kita, hambaNya

الَّذِي يَرَاكَ حِينَ تَقُومُ وَتَقَلُّبَكَ فِي السَّاجِدِينَ
"Dialah yang melihatmu ketika engkau berdiri dan juga gerak tubuhmu di antara orang-orang yang bersujud." (asy-Syu'ara': 218-219)


Allah memperingatkan lagi


Seterusnya

إِنَّ اللّهَ لاَ يَخْفَىَ عَلَيْهِ شَيْءٌ فِي الأَرْضِ وَلاَ فِي السَّمَاء
"Sesungguhnya bagi Allah tidak ada sesuatu yang tersembunyi baik di bumi ataupun di
langit."(al-lmran: 5)

Itulah sebahagian ayat-ayat Al-Quran yang Allah peringatkan kita bahawa Allah sentiasa mengawasi hambanya 24 jam sepanjang hayat, segalanya telah direkod dan akan dipersembahkan semula kepada kita suatu hari disana kelak.

Manakala beberapa hadith yang yang berkaitan diantaranya ,

Dari Abu Zar, yaitu Jundub bin Junadah dan Abu Abdur Rahman iaitu Mu'az bin Jabal radhiallahu 'anhuma dari Rasulullah s.a.w. sabdanya:

"Bertaqwalah kepada Allah di mana saja engkau berada dan ikutilah perbuatan buruk itu dengan perbuatan baik, maka kebaikan itu dapat menghapuskan keburukan tadi dan
pergaulilah para manusia dengan budi pekerti yang bagus."
(atTirmizi)

Didalam kitab ini memberi penerangan tentang dua perkara yang dihuraikan pertama Rasulullah mengingatkan kita supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah dimana sahaja.

Ermm..apa maksud taqwa? Apa kaitan taqwa dengan muroqabah?
Cuba kita fikirkan sejenak...Allah itu Maha Penyayang, Allah sentiasa memberi kita jalan atau cara untuk meningkatkan darjat manusia. Contohnya sebagai muslim Allah telah tetapkan dalam setahun ada bulan kita dilatih supaya kita sentiasa muroqabah dengan tujuan dipenghujungnya kita mendapat taqwa. Soalan cepu emas, siapa tahu bulan dan ibadah apakah itu?

Kadangkala manusia tidak terlepas dari membuat kesilapan..
Maha pengasihnya Allah kepada hambanya, untuk membayar 'saman' disetiap kesilapan...bayarlah dengan perbanyakkan kebaikan terutamanya bertaubat supaya terhapus segala keburukan.

Cuba kita bayangkan jika kemana-mana kita pergi kita rasa ada "cctv", pastinya kita tidak akan menyakiti manusia yang lain dan pasti akhlak yang baik akan terjelma dengan sendirinya.

Seterusnya sama-sama kita renungkan pesanan Rasulullah ini..

Abdulullah bin Abbas r.a berkata: Pada suatu hari saya berada dibelakang Nabi Muhammad S. A. W katanya: Hai anak, akan saya ajarkan kepadamu beberapa kalimat:

1. Peliharalah (perintah) Allah, maka Allah akan memelihara engkau, dan peliharalah (larangan) Allah, nescaya kamu dapati Allah selalu dihadapanmu.

2. Apabila kamu meminta, mintalah kepada Allah dan apabila kamu minta tolong mintalah pertolongan dengan Allah.

3. Ketahuilah olehmu, sekiranya ummat manusia sepakat hendak memberi manfaat kepadamu, nescaya tidak akan sampai sesuatu juapun daripadanya melainkan apa yang telah ditetapkan Allah lebih dahulu.

4. Demikian juga sekiranya mereka itu sepakat pula hendak membahayakan kamu, tidak akan sampai bahaya itu melainkan menurut apa yang telah ditetapkan Allah terlebih dahulu.
(atTirmizi)

Fikirkan sama-sama, mujahadah yang paling besar untuk diri kita ialah sentiasa mengingati Allah pada waktu senang...supaya Allah akan mengenal kita diwaktu kita kesusahan. Kerana diantara penerangan yang berkaitan dengan hadith ini adalah bahawa amal yang soleh itu berguna pada waktu menempuh kesulitan. Sejarah nabi Yunus, oleh kerana ia selalu mengingati Allah sekalipun didalam perut ikan, maka selamatlah, ikan itu terdampar ditepi pantai dan keluarlah Nabi Yunus dengan selamat wal'afiat pula.


Didalam tajuk ini ada satu cerita daripada hadith Bukhari dan Muslim. Abu Hurairah telah mendengar nabi s.a.w bersabda tentang tiga orang sahabat, Kusta, Botak dan Buta.

Alhamdulillah dunia kini, maklumat hanya dihujung jari,
cerita ni aku tengok dah lama tapi tak tahu pula diambil daripada hadith.

Selamat Membaca dan Selamat Menonton..







Ingat kita sentiasa diawasi dan jangan mudah lupa diri.

buat diriku yang sering lupa,
-notakecil-ini-

Tuesday, 10 November 2009

Mujahadah


Lamanya tak buat usrah..itulah rasa jauh disudut hati..hampir dua bulan usrah diberhentikan sementara memberi ruang Ramadhan hinggalah ke Syawal.

Setelah Syawal melabuhkan tirainya,jari jemariku menaip dan bertanya khabar anak-anak usrah melalui email dan bertanya bila waktu yang sesuai untuk dimulakan usrah? Dua tiga hari menunggu tiada siapa membalasnya.

Hati kecil berkata, sebagai ketua kena buat keputusan dan langkah pertama mesti dimulakan sebelum langkah-langkah seterusnya, yang penting mulakan.

Akhirnya, semasa waktu rehat di 11A bersama makcik-makcik omputih yang sama-sama bekerja, aku mengambil telefon dan menghantar mesej kepada anak-anak usrah, tergambar wajah mereka seorang demi seorang. Anak-anak usrahku...adalah kakak-kakak dan rakan sebaya dan hanya seorang bergelar adik. Mereka juga adalah jiran-jiran yang terdekat yang tinggal di Balfour Road. Walaupun dekat tetapi masing-masing sibuk dengan hal masing-masing. Jika nak kata tak berjumpa, mestilah mustahil, jika ada majlis raya kami pasti berselisih dan bertemu muka. Tapi jauh disudut hati duduk lutut bertemu lutut semata-mata untuk meningkatkan iman itulah yang sangat dirindui.

Mak naqibah..
Sesungguhnya besar tanggungjawab yang dipikul...namun tidak dapat dielak ,itulah ketetapan bagi setiap muslim. Setiap Muslim adalah menjadi pemimpin dan pastinya juga tanggungjawab itu akan dipersoalkan kelak disana.

Itu jugalah yang menjadi kekuatan bagi diriku untuk menyampaikan walaupun sedikit, semua ini untuk diriku dan jawapan apabila dipersoalkan kelak.

Persediaan..
Apa bahan nak buat usrah pertama ni, kepala ligat berfikir dan imbas peristiwa-peristiwa yang berlaku di Sheffield sebulan dua yang lepas...akhirnya ku pilih untuk tadabur Quran surah Al-Hujurat ayat 1-10.


Kemudian diri mengambil kitab lama yang telah lusuh yang menjadi peninggalan dari generasi ke generasi ikhwah dan akhawat Sheffield yang telah balik ke Malaysia.

Kitab lama ini tiada isi kandungan, jadinya aku buka helai demi helai Kitab terjemahan Riadhus Shalihin. Dihelai 118 ku berhenti.."MUJAHADAH"

Jam 5 petang, Selasa di 93 Balfour Road.

Hati menunggu dengan sabar, dihati kecil ada juga terlintas kerisauan ...datang ke tidak mereka ni, diluar dah gelap,hujan agak mula lebat dan ditambah lagi sekarang ni dengan sejuk.

Kedengaran salam dan pintu diketuk..

Ya Allah, kak niza..

Itulah kekuasaan Allah dan Allah yang berkuasa menggerakkan hati manusia.

Kak Niza adalah orang yang aku mengizinkan sekiranya dia tidak hadir. Rumah baru kak niza agak jauh, sebelum ni memang kak niza duduk di Balfour tapi disebabkan landlord nak semula rumah sewanya, kak niza kena pindah. Rumah kak niza ada dalam 5 minit berjalan kaki , melintas jalan dan kawasan rumah agak tinggi dan dalam hujan pastilah jalan licin.

Dalam hujan agak lebat, bersama empat orang anak yang masih kecil kak niza datang juga usrah petang tu walaupun didalam keadaan basah. Kemudian beberapa minit kemudian kak zu datang .Hati tertanya-tanya anak usrah ku yang seorang ni, biasanya dialah yang datang awal.

Telefon bimbit kuambil dan menelefonnya...oh rupanya dia terlupa sebabnya dua bulan lepas biasa usrah buat hari khamis. Aku hanya tersenyum...hari pertama.

Kemudian ku tunggu lagi seorang dan tetiba dapat mesej.."yati mulakan dulu saya datang lewat cket..ayuni masih tidur". Hatiku berkata itulah kesabaran wanita bergelar ibu.

Akhirnya 5.30 petang usrah dimulakan..
Setelah tilawah dan tadabur Quran...

MUJAHADAH- PERJUANGAN MELAWAN HAWA NAFSU

Tajuk ini sebenarnya dipilih adalah untuk diriku sendiri kerana telinga yang mendengar ini lebih dekat dengan mulut yang berkata. Tajuk ini juga sebagai pembuka kekuatan kepada anak-anak usrahku untuk hari-hari yang mendatang.

Beberapa cebisan ayat quran dan hadith yang moga-moga menjadi kekuatan kita diketika iman naik dan turun.

"Mereka yang berjuang untuk keredhaan Kami, pasti Kami tunjukkan jalan Kami, dan Allah tetap bersama orang yang berbuat baik" (Al_Ankabut 69)

"Dan segala apa yang kamu usahakan untuk dirimu dari kebaikan, tentu kamu akan mendapatkannya disisi Allah iaitu yang baik dan besar pahalanya" (Al- Muzammil 20)


Abu Hurairah r.a. berkata : Rasulullah s.a.w bersabda:
Seorang yang lebih kuat iman, lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mu'min yang lemah. Dan masing-masing ada kebaikan sendiri-sendiri. Rajin-rajinlah mengerjakan apa-apa yang berguna dunia dan akhirat, dan selalu memohon bantuan kepada Allah, dan jangan lemah. Kemudian jika kau terkena sesuatu, jangan sekali-kali mengatakan: kalau aku buat begini nescaya terjadi begini. Sebaiknya kau harus berkata : Telah ditakdirkan Allah dan Allah berbuat sekehendaknya, kerana perkataan kalau memberi jalan gangguan syaitan. (Muslim)

Usrah pertama yang penuh bermakna .Syukur setinggi-tingginya kepada Allah yang masih memberi kami berada dijalan ini.

Tuesday, 2 June 2009

Bedah Surah Al -Fatihah


Hari ni saya terfikir sesuatu, sebabnya dua minggu lepas saya membaca Tafsir Surah Al Fatihah- Tafsir Fil Zilal. Apabila saya baca sendiri, sebelum ni ada mak naqibah saya bagi..tapi bila membaca sendiri lagi terkesan di hati saya.

Al-maklum semua, bacaan Al Fatihah adalah bacaan yang sangat penting dalam solat. Apa jadi jika tak baca atau bacaan kita tak betul??? Solat kita menjadi tidak sah...itu kita tahu sejak sekolah lagi. Tetapi adakah pengetahuan kita dari dulu sampai ke hari ni macam tu jer..statik jer.."dah baca sah lah solat".

Pernah tak kita tertanya kenapa begitu Special surah Al Fatihah ini sehingga Allah perintah kita baca didalam solat dalam setiap rakaat setiap hari??? Kenapa jika tidak baca atau salah baca TIDAK SAH SOLAT??? Tahu tak kita setiap ayat yang kita baca Allah akan menjawab??Hakikat sebenarnya kita sedang berdialog dengan Allah?? Rasa ker kita apabila membaca Al Fatihah kita begitu hampir dengan Pencipta kita dan sayangnya Dia kepada kita???

Bila saya mula baca tafsir quran?? Jangan keliru yer tafsir Quran bukan terjemahan Quran. Tafsir al Quran adalah penerangan tentang sesuatu ayat dan mengandungi hadith2 berkaitan sesuatu ayat. Kesyukuran pada Allah beri saya peluang kesempatan mengenali dan memahami serba sedikit tafsir apabila saya berada didalam usrah. Pengenalan saya adalah dengan tafsir surah-surah pendek juzu' Amma.

Apa yang saya dapat dari membaca tafsir??

Sebelum ini saya suka baca buku-buku novel...Apabila membaca buku novel, biasanya saya akan lihat bagaimana penulis mengolah cerita...ada yang berjela-jela..senada jer dan bosan..baru baper helai dah tutup, ada yang buat saya tak puas hati sebab nak tahu dan nak tahu dan terus membaca sebab nak tahu penghujungnya..boleh duduk terus dalam bilik baca sampai habis, jika best akan ingat jalan cerita satu persatu dan watak-watak didalam cerita kekal didalam fikiran. Tapi sekarang teringin nak baca novel tapi mesti dalam kepala buku sirah tak habis baca nak baca novel...

Apa kaitan dengan baca novel ni??
Apa yang saya nak kaitkan adalah bagaimana jika kita baca surah Al Fatihah...kita boleh jatuh cinta dengannya dan lebih best dari baca segala novel? Bagaimana nak jatuh cinta jika kita tidak faham dan menghayati jalan ceritanya.
Lebih-lebih lagi orang macam saya bukan pelajar berkelulusan bahasa arab..hanya sedikit asas tentang bahasa arab semasa belajar dulu dari tingkatan 1 hingga 3 .

Jadinya apabila membaca tafsir saya dapat tahu sedikit seni memahami susunan ayat Quran dan cerita disebalik ayat-ayat Quran. Sebagai contohnya Surah Al -Fatihah , cerita diawal-awalnya adalah kita menyebut nama Allah, selari dengan ayat quran yang pertama Allah turunkan kepada Rasulullah s.a.w -"Bacalah dengan menyebut nama tuhanmu". Kemudian puji-pujian kepada Allah,tanda kita seorang hamba kepada Pencipta. Selain daripada itu tahu ker kita dalam ayat surah Al-Fatihah juga mengandungi penegasan dan pengharapan. Ayat yang mana yer ada yang tegas dan ada pengharapan?

Jika kita rajin lagi buat researchtentang surah-surah yang lain, kita akan tahu bahagian mana ayat yang mana Allah marah, ancaman dari Allah , pembalasan, peringatan dan daripada membacanya kita tahu tersangat sayangnya Allah kepada kita kerana Allah telah bagi kita tips2 supaya kita menjadi ahli syurga. Itulah kekadang ada imam-imam yang boleh menangis bila membaca Quran didalam solat. Dan didalam ayat-ayat Allah, ada watak-watak manusia yang Allah suka yang boleh kita jadikan idola dan tak suka yang selalu diulang-ulang supaya diri kita tidak jadi seperti mereka.

Oleh yang demikan sama-samalah kita berusaha sedaya upaya up kan pengetahuan kita tentang Quran. Jika kita boleh upkan skill memasak kita, skill memblog, skill menulis, up kan ekonomi hidup, up kan resume kita dengan pelbagai sijil dan anugerah...kenapa kita tidak boleh up kan skill kita untuk memahami ayat-ayat Allah??? Sehingga kita jatuh cinta dengan kata-kata Allah, yang pasti benar dan asli.

Sebelum kita bedah buku yang lain2...marilah mulakan dengan bedah surah Al Fatihah seterusnya ayat-ayat Allah yang lain. Sediakan peruntukan wang untuk membeli Tafsir Al-Quran dan berguru untuk memahaminya.

Doa kita setiap hari...
"Tunjukilah kami jalan yang lurus" tapi bila Allah telah beri mengapa kita sering menepisnya...???




Tazkirah untuk diri ini,

Wednesday, 1 April 2009

Belajar membaca..

Pengalaman yang best kat UK ni ialah banyak aktiviti untuk ibu bapa secara percuma. Semalam adalah minggu terakhir saya mengikuti Family Learning - Reading Matters Course selama 12 minggu anjuran Greenland School. Kursus ni hanya untuk ibu bapa yang anak-anak dalam nursery dan reception. Bagi yang nursery anak-anak berumur 3 tahun dan reception anak-anak berumur 5 tahun.

Banyak ilmu yang saya dapat...terutamanya saya tahu bagaimana pengajaran dan pembelajaran anak-anak di UK. Jika dibandingkan di Malaysia anak-anak di UK yang berumur 3-6 sangat seronok ke sekolah dan mereka sangat kreatif dan yakin diri yang sangat tinggi. Mereka boleh mengeluarkan pendapat dan rasa tidak setuju pendapat orang dewasa secara terus tanpa takut-takut. Begitulah mereka dengan cikgu di sekolah..macam kawan-kawan. Itu secara positif mereka sangat yakin dan tetapi ibu bapa disini juga kena imbangkan ..disebabkan terlalu tinggi keyakinan dia.. mereka tidak ada rasa hormat dengan orang lebih tua.

Pada saya peluang disini adalah mengutip pengalaman dan ilmu yang baik untuk diamalkan dan di sempurnakan dengan kehendak Islam.
Pada awalnya suami tak berapa setuju...

"orang datang UK buat master ke phD, mama buat sijil tadika" kata suami saya.

saya hanya tersenyum..pada saya ilmu tu luas tak semestinya Master atau phD, tapi yang bernilai adalah pengalaman ilmu yang tidak boleh dicari dimana-mana.

Tujuan utama saya mengikuti kursus pendek ini adalah untuk tahu dan saya tidak ketinggalan dengan ilmu yang jannah dapat disekolah. Dan pastinya pembelajaran anak-anak pada masa sekarang adalah jauh beza dengan 30 tahun yang lepas. Jadinya inilah cabaran bagi saya...dan serba sedikit saya dapat membantu jannah di rumah.

Selain daripada tu saya belajar skill bagaimana membaca buku cerita dengan lebih menarik. Jadinya serba sedikit kena memahami maksud gaya penyusunan gambar-gambar di didalam buku dan perkataan-perkataan yang ditulis. Contohnya..jika perkataan itu di bold..intonasi kena tekankan kat perkataan tu..contohnya jika gambar tu di pecah-pecahkan..intonasi kena satu demi satu..bagi suspend. Selain daripada itu juga saya belajar bagaimana bacaan secara phonics. Serba sedikit jika jannah baca secara phonics ia menjadi tidak pelik bagi saya..:)

Saya juga berpeluang buat sendiri permainan dan dibawa balik.

"Mama..cikgu mama bagi apa hari ini ?" tanya jannah.

Itulah soalan setiap kali dia tahu saya ada kelas di Rainbow Room yang terletak dibelakang kelas jannah. Jannah sangat suka jika saya buat permainan untuk dia.

"I have made a new game this morning..hard one" me said.

"Let me try"..jannah said.

Beberapa minit kemudian..

"mama..look..done..it is very easy mama.."..:)

jannah yang tak nak mengalah...:)

Sangat menarik jika kita tahu dan anak-anak pun boleh baca buku cerita walaupun dia tak tahu membaca...bagaimana? Daripada kursus inilah saya dapat tahu teknik bercerita melalui gambar...jadinya bukan saja-saja gambar tu diletak di setiap muka surat.

Kita marah anak-anak tengok tv lama-lama..tapi pernah tak kita cuba fikirkan bagaimana nak buat membaca lebih seronok berbanding tengok tv..??
Itulah cabarannya kita sebagai ibu bapa..kena juga kreatif.

Jom..cuba baca cerita ni..jika anda dapat membacanya..hehehe..anda memang genius..:) jika tidak suruh anak anda baca..:)

Walaupun kursus ini tentang Reading Matters..daripada ilmu selama 12 minggu ni saya juga boleh praktikkan dalam pembelajaran IQRA' dirumah..:) boleh main game daripada buku iQRA'.

Di dalam kursus itu juga kami berpeluang bersama-sama anak-anak ke Muzium Sheffield. Istimewanya lawatan ini adalah hanya untuk ibu bapa yang mengikuti kursus ini sahaja dan anak-anak dibenarkan dibawa keluar dalam waktu sekolah..secara percuma.
Dapat keluar berjalan-jalan memang menyeronokkan bagi jannah dan kawan-kawannya.
Diantara pameran yang ada disana adalah pameran haiwan..seperti musang, beruang, buaya yang diawet. Banyak benda yang ditanyanya, antara soalan lazim..


"Is it real mama?":)





Manfaatkan ruang dan peluang yang ada selagi nyawa dikandung badan..:)

Tuesday, 17 March 2009

Hujung minggu yang penuh bermakna..

Hujung minggu yang lepas saya dan sahabat-sahabat telah berganding tenaga dan bahu merealisasikan ilmu-ilmu yang dapat sepanjang pertemuan mingguan dengan berniaga di Sheffield Malaysian Game. Kami jadikan berniaga di Sheffield Malaysian Game salah satu medan tarbiyyah untuk membina amal, bina skill berniaga dan meningkatkan ukhuwwah.

Saya yang memang takder skill memasak, telah diberi tugas untuk menyediakan kuah laksam, karipap,lopez dan roti jala..

ala-ala hotel..

Nasib baik masa mak mertua datang Sheffield tahun lepas adalah sedikit ilmu buat karipap dan roti jala yang diturunkan..antaranya membuat doh karipap menggunakan bread maker..saya rasa memang sangat berkesan jimat tenaga dan masa. Terima kasih kat mak...;)
mak dan jannah

Dan cara membuat kuih lopez..cara yang paling mudah untuk masak beras pulut tanpa mengukus...adalah menggunakan microwave..cepat dan mudah, terima kasih kak nita :) Kemudian nasib baik ada Kak Su yang memang arif menebar roti jala...begitu pantas sekali..hasil pengalamannya di Malaysia yang menebar roti jala lebih dari 3 kilo tepung..;). Terima kasih pada Su, Ume, Kak Zu yang first time menggelek doh buat karipap..sampai sengal-sengal tangan dan tak lupa kepada Ida.
Tak tahu lagi jika balik Malaysia dapat tak rasa macam ni lagi...

Kemudian setelah penat di siang hari berniaga saya berpeluang menghadiri ceramah sempena Maulidur Rasul di masjid anjuran PMPMS. Kali ni saya berpeluang secara live mendengar ceramah dari Ustaz Zaharuddin. Rasa bertuah sangat sebab dia adalah ustaz yang saya segani, sebelum ni saya dapat mendengar ceramah live dari Dr. MAZA semasa PMS08 dan Ceramah Fiqh Luar Negara dari Ustaz Maszlee semasa PSP08 dan kali ini bertemu Ustaz Zaharuddin., semuanya semasa di UK.

Antara peringatan ustaz Zaharuddin yang masih saya ingat adalah
- seerah Rasulullah terlalu luas, tapi disebabkan umur kita yang terhad kita tidak mampu mengambil kesemuanya. Tetapi ambillah amalan-amalan yag sahih untuk diamalkan.

- ustaz sentuh tentang akidah. Antaranya jangan jumpa bomoh atau jadi bomoh, jangan percaya kepada ramalan bintang atau kepercayaan karut kebanyakan orang melayu contohnya kalau rama-rama masuk rumah tandanya ada orang nak datang, gatal tangan nak dapat duit...etc. Tetapi jika hukum alam boleh..contohnya dapat mesej kawan nak datang..atau ramalan cuaca. Kemudian semua nombor hanya nombor..takder nombor yang bawa tuah atau malapetaka. Lagi satu sikap kita dengan boss, jika kita mengiyakan sesuatu perintah yang sebenarnya salah ia juga menggugat akidah.
Jika direnung-renung banyaknya kefahaman kita ni yang boleh menggugat akidah. Jadinya selepas ini kita kena berhati-hati dengan amal perbuatan kita.

- kemudian ustaz mengingatkan tentang kematian. Pernah tak kita tengok liang lahad? Pernah tak kita tengok mayat dimasukkan? dan soalan ustaz lagi pernah tak kita cuba baring didalam liang lahad ?? Rasa-rasa sempit tak??
Apa persiapan kita untuk menghadapai semua itu yang pasti akan tiba bila2 masa??

Yang terakhir ustaz pesan jangan kutuk-kutuk mana-mana pihak..yang penting buat kerja masing-masing dan sentiasa berlumba-lumba untuk menyampaikan mesej Islam dan caranya terlalu luas . Sesungguhnya amalan seseorang hanya Allah yang nilai.

Walaupun masa diberi 40 minit tapi penyampaiannya sangat berisi dan santai, nak dengar dan terus dengar..
Semoga segala ilmu yang kita dapat kita amalkan dan kita share dengan orang lain.

Monday, 9 March 2009

Sekadar Renungan Seerah Kekasih Allah

Hari ni bila tengok kat kalendar kat sebelah blog ni..12 Rabiulawal, terus teringat tentang Maulidur Rasul, jika di Malaysia pasti dimana-mana ada sambutan tak kira di sekolah, di surau malah di stadium...hehehe..sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan.
Saya disini semangat tu tidak dirasai sangat.

Tetapi kebetulan Sabtu lepas saya di amanahkan oleh 'senior', bersama dengan dua tiga sahabat untuk menyampaikan sedikit pengisian berkaitan sejarah peradaban Islam, sejak Rasulullah, para sahabat, zaman kegemilangan Islam hinggalah zaman kejatuhan Islam.
Pengalaman yang baru bagi saya..dan terima kasih pada senior saya tu sebab bagi saya peluang untuk menjadi pemberi..biasa bila jalan-jalan cari ilmu saya suka jadi pengutip...:) pengutip ilmu. Saya diamanahkan untuk menyampaikan tentang seerah Rasulullah hingga Khulafa' Ar Rasyidin. Sebenarnya sangat berdebar-debar sebab dah lama tak 'public speaking', tapi berbekalkan pengalaman yang seciput masa bergelar pelajar dan present paper dan di latih oleh supervisor yang amat berpengalaman, memberikan saya sedikit keyakinan.
Hari tu saya kena bagi kat adik2 dan kakak2 yang semuanya sedang buat phd di Sheffield, pendek cerita mereka semua pensyarah-pensyarah yang hebat-hebat belaka. Tapi dalam hati saya cuma ingin berkongsi ilmu yang telah saya kutip dan sesuatu yang saya rasa bila baca seerah Rasulullah dan para sahabat.

Jika ikut Dr Asri pelbagai pendapat bilakah kelahiran Rasulullah, boleh rujuk di blog Dr MAZA.
Tapi disini saya ingin berkongsi tentang seerah Rasulullah, mungkin kita telah belajar sejak dari kecil lagi...jika yang bersekolah di johor..sekolah pagi belajar sejarah..sekolah agama petang belajar sejarah...tapi setakat mana kita menghayati dan merasai cinta kita kepada perjuangan Rasulullah s.aw. Kita setakat nak dapat A sahaja, baca dan hafal, cukup.

Sedar atau tidak Rasulullah hidup dari kecil hingga umur baginda 40 tahun, masyarakat disekelilingnya adalah masyarakat jahiliyyah..yang penuh dengan adat resam dan kepercayaan nenek moyang yang sebati yang jauh dari ajaran Islam yang sebenar.

Tetapi Allah menjaga kekasihnya dengan tidak sedikit pun memberi kesan dan mempengaruhi cara hidup selama 40 tahun. Malah Rasulullah beruzlah di gua hira' memikirkan masalah masyarakat yang sedang dihadapi ketika itu..yang membunuh anak perempuan hidup-hidup, mementingkan harta benda sebagai penghormatan dan sanggup berperang kerana semangat berpuak-puak. Jika kita selidik dan renung masyarakat kita pada hari ini lebih jahiliyyah lagi, bunuh anak tidak kira perempuan atau lelaki. Pernahkah kita terfikir masalah masyarakat kita..ker itu bukan masalah kita?

Rasulullah mengeletar setelah menerima wahyu pertama..baginda ketakutan..tetapi baginda tahu ini amanah dan tanggungjawab daripada Allah untuk menyampaikan seruan Islam kepada umatnya...demi kebaikan umatnya didunia dan diakhirat, baginda sabar dan tabah. Rasulullah buat secara senyap-senyap selama 3 tahun di Mekah kerana baginda tahu bagaimana penerimaan masyarakatnya tentang pembaharuan yang dibawanya memang seluruhnya bercanggah dengan kepercayaan nenek moyang kaum quraisy ketika itu, pastinya tentangan yang akan diterima. Maka bermulalah pendidikan (tarbiyyah) secara individu dan pembersihan jiwa daripada baginda kepada keluarga terdekat, kepada isteri tercinta saidatina Khadijah, kepada hamba baginda, Zaid bin Harithah, sepupu baginda yang membesar bersama-sama sejak kecil, saidina Ali bin Abi Talib dan sahabat yang begitu setia bersama iaitu saidina Abu Bakar As Siddiq. Rasulullah menanamkan aqidah, nikmat-nikmat syurga dan pembalasan neraka, pada masa yang sama ayat-ayat Makiyyah tidak putus-putus turun. Usaha Rasulullah hari demi hari, mingu demi minggu, bulan demi bulan dan tahun demi tahun tidak pernah henti untuk menyampaikan risalah Islam kepada seluruh masyarkat Arab ketika itu. Dari beberapa individu berkembang kepada individu lain yang memeluk Islam. Dan bermulalah serangan daripada kaum yang tidak mahukan kebenaran, kaum yang ego yang lebih mementingkan dunia dan kepentingan peribadi. Apakah jenis penyiksaan yang tidak diterima oleh Rasulullah dan para sahabat, cacian, makian, tuduhan mengatakan baginda sihir dan gila,dibaling najis ketika bersembahyang, diboikot dengan sekatan makanan dan ekonomi, di siksa,Bilal bin Rabah di heret ke padang pasir yang panas terik di letak batu besar didadanya..namun sedikitpun tidak berganjak pendirian demi Allah dan Rasul, Ammar bin Yassir, kedua ibu bapanya disula didepan mata, tidak terkecuali juga diri Rasulullah sendiri yang dibaling batu sehingga berdarah kakinya semasa menyampaikan Islam di Thaif...kedatangan Rasulullah tidak disambut dengan karpet merah dan hidangan yang mewah dan pelbagai mehnah dan tribulasi yang dihadapi oleh kekasih Allah ini. Namun tidak pernah rasa putus asa dan rasa untuk meninggalkan usaha-usaha untuk menyampaikan risalah Islam. Begitu juga dengan perjuangan para sahabat yang begitu setia dan yakin dengan perjuangan Rasulullah dan bersama-sama walau terpaksa meninggalkan harta benda, sanak saudara dan menggadaikan nyawa kerana pergantungan mereka hanya pada Allah dan harapan mereka hanya syurga yang kekal abadi.

Perjuangan Rasulullah yang yang panjang selama 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah, kian dilupa dan kian padam dihati kita. Cuba bayangkan sekiranya Rasulullah dan para sahabat tidak bersungguh-sungguh melakukan pengorbanan, dapatkah kita sinar Islam macam mana yang kita perolehi hari ini. Jika tidak ada usaha untuk meneruskan perjuangan Rasulullah daripada diri kita sendiri pastikah anak cucu cicit kita juga merasai nikmat Islam yang kita rasai hari ini dan tidak mustahil jika kita berdiam diri mereka akan kembali kepada zaman yang lebih teruk dari zaman jahiliyyah arab.

Kita merasa cinta dan kasih kepada Rasulullah tetapi setakat mana rasa cinta kita jika kita tidak tahu sirah perjuangannya dan tidak mengikuti jejak langkah perjuangan dan mencontohi akhlaknya???


Rasulullah dalam mengenang mu
kami susuli lembaran sirahmu
pahit getir perjuanganmu
membawa cahaya kebenaran

engkau taburkan perjuanganmu
untuk umatmu yang tercinta
biar terpaksa tempuh derita
cekalnya hatimu menempuh ranjaunya

tak terjangkau tinggi pengertimu
tidak tergambar indahnya akhlakmu
tidak terbalas segala jasamu
sesunguhnya engkau rasul mulia

tabahkan hatimu menempuh dugaan
mengajar erti kesabaran
menjulang paji kemenangan
terukir namamu di dalam al-quran

rasullulah kami umatmu
walau tak pernah melihat wajahmu
kami cuba mengingatimu
dan kami cuba mengamal sunahmu.....

kami sambung perjuanganmu
walau kami dicaci dihina
tapi kami tak pernah kecewa
ALLAH DAN RASUL sebagai pembela...

tak terjangkau tinggi pengertimu
tidak tergambar indah akhlakmu
tidak terbalas segala jasamu
sesunguhnya engkau rasul mulia

tabahkan hatimu menempuh dugaan
mengajar erti kesabaran
menjulang paji kemenangan
terukir namamu didalam al-quran

Rasulullah dalam mengenang mu
kami susuli lembaran sirahmu
patih getir perjuanganmu
membawa cahaya kebenaran

Tuesday, 24 February 2009

nota..Akidah

Dari mana?

Nota ini adalah berkaitan akidah. "Perkara asas dan tersangatlah penting!"...kata Ustaz W, masih terngiang-ngiang nada suara ustaz mengingatkan kami. "Jika akidah tidak selesai maka perkara lain tidak akan selesai. Ini melibatkan syurga dan neraka...."

Sebahagian daripada point ceramah ustaz:

Sebagai peringatan dan sangat berkait daripada ayat diatas adalah peristiwa tsunami...Allah bagi peringatan depan mata kita...adakah kita lupa..????


Wednesday, 18 February 2009

Kenali potensi diri

Kali ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu yang saya dapat semasa pms tahun lalu. Saya ada catit beberapa perkara. Hari ni saya akan pindahkan salah satu catatan saya ke blog ini sebelum ia hilang..:), iaitu berkaitan potensi diri yang sangat menarik pada saya. Sejak bergelar ibu..buku nota saya tidak akan bertahan lama..sebabnya buku saya adalah buku jannah jua...:)..setiap selang muka surat pasti ada tulisan dan lukisan jannah...kekadang tu saya bawa jer buku spare untuk dia tapi buku saya juga yang dia nak.."mama nak kertas..mama nak pen..". Jika tidak dibagi akan diulang2..sampai saya terpaksa merelakan helaian kertas kosong dikoyak daripada buku dan bagi pada jannah. Tapi begitulah lumrah menjadi ibu..:) sabar sentiasa. Moga-moga bila dah besar jannah juga akan rajin mendengar dan menulis..:)

Jika kita lihat pada tajuk biasanya kita kan terbayang penceramah motivasi dan buku-buku motivasi berceramah berkaitan dengannnya. Tetapi nota saya ini yang menjadi menarik berkaitan tajuk ini adalah berasaskan sirah Nabi ;)...seperti apa yang disampaikan oleh Dr. T, dalam sistem tarbiyyah nabi Muhammad S.A.W adalah mengenali potensi diri dalam diri setiap sahabat dengan tujuan menghasilkan keperibadian yang berbeza-beza dan ternyata keunggulannya dalam setiap posisi demi untuk mengajak manusia kepada Islam. Kenali sahabat dan diantara 7 sahabat yang disebut dalam sebuah hadith



Pada saya point ini yang menarik, selepas daripada talk Dr. T, saya bertambah minat ingin mengetahui dan membaca kisah Rasulullah dan sahabat-sahabat sebagai contoh akhlak yang terbaik dan teladan dalam hidup. Selain itu setiap diantara kita ada potensi dan bakat masing-masing...dan semestinya kita gunakan bakat dan kelebihan yang kita ada, kita salurkan untuk Islam. Contohnya jika pandai menyanyi kita sampaikan dengan nasyid, jika berbakat menulis kita jadi penulis yang dapat membawa pembacanya kepada Islam yang sebenar, jika berbakat menjadi pemimpin jadi ketua untuk mempengaruhi orang lain kearah kebaikan dan sesungguhnya terlalu banyak sumbangan yang boleh kita salurkan untuk Islam. Dan juga sebagai peringatan janganlah kita sombong dengan bakat yang kita ada kerana semua itu daripada Allah, dan Allah juga boleh menariknya pada bila-bila masa. Dan janganlah dipersia-siakannya.

"Searching For Excellent"

Monday, 2 February 2009

Akhlak part 1

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih,

Alhamdulillah ..alhamdulillah..alhamdulillah..

Dua hari lepas dengar kuliah dalam satu program...tajuknya simple dan selalu pun didengar dan belajar sejak dari sekolah rendah lagi. Tetapi saya rasa itulah yang sukar diamalkan iaitu tentang akhlak Islam.

Masa program tu...seorang tua yang lembut dan jernih air mukanya berbangsa dan berasal dari Gaza dan telah menetap di bumi UK, membuka bicara tentang akhlak Islam. Akhlak Islam terlalu banyak untuk disenaraikan..meliputi segala-galanya dalam kehidupan manusia.

Tetapi ada satu cerita yang ia kongsikan...cerita bagaimana sahabatnya memeluk Islam di bumi UK. Bisanya setiap yang memeluk Islam pasti ada cerita disebaliknya tidak kira sama ada mencari, melihat atau mendengar. Cerita sahabatnya ini seorang warga Britain yang hidupnya memang tidak pernah nak ambil tahu dan lagilah nak belajar tentang Islam jauh sekali. Hidupnya seperti orang UK lain..dan juga bukan pengamal Kristian. Tetapi disebelah rumahnya tinggal seorang tua yang berasal dari tanah arab dan beragama Islam. Orang tua ini setiap minggu bila ada lori sampah datang dialah tarik dan tolak tong sampah hijau bukan setakat dia punya tetapi mat saleh ni punya sekali. Selepas tu jika dia bersihkan kawasan rumah dia akan sapukan sekali kawasan rumah mat saleh ni. Begitulah setiap hari, sampai mat saleh ni ingat mesti dia inginkan bayaran. Dan suatu hari mat saleh ni cakap kat orang tua ni berhentilah daripada buat benda-benda ni sebab dia takkan beri apa-apa bayaran. Kemudian orang tua tu cakap..Tidak, aku tidak mengharapkan bayaran..semua ini nabiku yang telah mengajarkan kepadaku supaya membantu 40 jiran di kiri kanan depan belakang, apatah lagi kamu yang jiran disebelah. Kemudian mat saleh itu bertanya siapa nabi kamu? Kemudian lelaki tua berkata nabi Muhammad s.a.w. Maka mulalah titik permulaan lelaki itu mencari dan membaca siapa dia Muhammad dan izin Allah dia memeluk agama Islam.

Kemudian penceramah terangkan..Islam tersebar di merata Asia (sebabnya kami dari malaysia) bukanlah sebab kerana jihad seperti di tanah arab dan eropah, tetapi Islam tersebar kerana akhlak Islam yang ditunjukkan oleh penganutnya.

Bila mendengar jer cerita ni ..saya seperti tersedar daripada mimpi, yakin besarnya kesan akhlak ni pada manusia. Besarnya kesan akhlak dan sebenarnya akhlak juga medium untuk berdakwah. Jika kita tidak ada kekuatan untuk berceramah mengajak orang kepada Islam dengan akhlak kita pun boleh mengajak orang kepada Islam sebenarnya. Itupun sebenarnya diperintahkan oleh Allah kepada kita :

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”


p/s kita adalah duta Islam...jangan sampai kerana akhlak buruk kita kesucian Islam tercemar.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...