Monday, 6 December 2010

PerbAharui NiAt SEnTiasa...

Selamat menyambut tahun baru hijrah, syukur kepada Allah s.w.t masih memberi kita peluang untuk memperbaiki diri untuk menjadi seorang hamba Allah yang sentiasa taat segala perintah dan meninggalkan segala laranganNya. Bagaimana rupa buku catatan amal kita tahun lepas? Adakah penuh dengan amalan baik atau pun sebaliknya. Mudah-mudahan segala amalan kita diterima dan diganjari Allah dengan pahala. Amin.

InsyaAllah buku catatan baru telah diterima, dan alangkah bermaknanya jika kita mulakan HIJRAH dengan niat semata-mata hidup dan matiku kerana Allah sebagaimana perjanjian kita 5 kali sehari yang diulang-ulang setiap hari didalam solat. InsyaAllah kita akan sentiasa perbaharui niat lagi dan lagi .

Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan. (al-An'am : 162-163).


Dan pasti disepanjang perjalanan hidup didunia ini kita tidak lepas dari bermacam-macam cabaran dan kadangkala manusia yang fitrahnya lemah dan lupa sering melupakan janji-janji yang telah dilafazkan, kerja-kerja seharian yang dilakukan adalah untuk riya' , mahu menunjuk-nunjuk dan untuk disanjungi manusia lain . Segala perbuatan kita untuk kesenangan dunia semata-mata padahal hidup yang lebih panjang dan lebih bermakna adalah di akhirat kelak. Dan jika itulah yang kita cari jangan lupa azab Allah sebagaimana firmannya:

Sesiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, Kami akan tunaikan kepadanya ganjaran yang amalan baik didunia, dan balasan mereka tidak akan dikurangkan sedikitpun didunia. Merekalah orang yang tidak akan mendapat apa-apa pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka. (Hud:15&16)


Segalanya bermula dengan niat. Betulkan niat dan sentiasa perbaharui niat..hidup dan matiku kerana Allah. Saya kongsi satu hadith yang baru saya dapat dalam usrah semalam, dimana apabila hadith ini dibaca kepada Muawiyyah, dia terus menangis sehingga pengsan. Sama-sama kita merenungkannya kenapa Muawiyyah boleh menitiskan air mata..

Muslim meriwayatkan kepada hadis Abu Hurairah r. a: Saya mendengar Nabi s.a.w bersabda:

Sesungguhnya manusia pertama yang dibicarakan pada hari Kiamat ialah seorang lelaki yang mati syahid. Dia dibawa untuk hisab , lalu Allah memperingatkannya tentang nikmat-nikmatnya. Dia pun mengakuinya. Allah berfirman: " Apakah yang telah kamu buat dengan nikmat-nikmat itu ?" Dia menjawab: "Aku berjihad di jalan-Mu sehingga aku mati syahid, " Allah berfirman "Bohong! Tetapi kamu telah berperang supaya kamu digelar orang yang berani dan itulah yang telah dikatakan kepada kamu. " Kemudian diperintahkan supaya dia dibawa ke neraka, lalu dia diheret atas mukanya hingga dihumban ke neraka.

Dibicarakan pula seorang lelaki yang telah mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran. Dia dibawa untuk hisab . Allah memperingatkannya tentang nikmat-nikmatnya, lalu dia mengakuinya. Allah bertanya: "Apakah yang kamu lakukan dengan nikmat-nikmat ini?" Dia menjawab: " Aku mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran kerana-Mu." Allah berfirman :" Bohong! Tetapi kamu mempelajari ilmu supaya kamu digelar alim. Kamu membaca al-Quran supaya kamu digelar qori. Itulah yang telah dikatakan kepada kamu ." Kemudian diperintahkan supaya dia di buang ke neraka , lalu dia diseret di atas mukanya sehingga dihumban ke dalam neraka.

Didatangkan pula seorang lelaki yang Allah berikan kesenangan dan pelbagai harta. Dia dibawa untuk dihisab, lalu Allah memperingatkannya tentang nikmat-nikmatnya. Dia mengakuinya. Allah bertanya: " Apakah yang kamu lakukan dengan nikmat-nikmat itu?" Dia menjawab :"Aku tidak meninggalkan sesuatu jalan kebajikan yang Engkau sukai melainkan aku bersedekah kepadanya kerana-Mu." Allah berfirman: " Bohong! Tetapi kamu buat begitu supaya kamu digelar pemurah, dan itulah yang telah dikatakan kepada kamu. " Kemudian diperintahkan agar dia dibawa ke neraka. Dia pun diseret di atas mukanya, kemudian dihumbankan ke dalam neraka.


Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lintasan hati kita walaupun sebesar zarah. Dan betapa mahalnya harga syurga..pemeriksaan yang sangat ketat bagi mereka yang ingin memilikinya. Namun untuk memilikinya adalah dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah. Kena jaga niat selalu.

Dan jika seseorang mendapat pujian dengan amalan ihklasnya itu adalah pujian yang Allah s.w.t campakkan kedalam hatinya, lalu dia bergembira dengan kurniaan dan rahmat Allah s.w.t.

Dalam satu hadith lagi diriwayatkan daripada Abu Zarr r.a bahawa Nabi s.a.w telah ditanya tentang lelaki yang melakukan amalan baik dan dipuji kerana melakukan tersebut. Baginda menjawab:
Itulah berita gembira yang disegerakan untuk orang mukmin.
Ia diriwayatkan oleh Muslim. Ibnu Majah juga meriwayatkannya dengan lafaz:

Seorang lelaki melakukan amalan kerana Allah, lalu dia disukai oleh manusia kerana amalan itu.

Tidak salah jika kita menerima pujian itu adalah juga tanda rahmat Allah namun jangan cepat lupa diri dengan pujian kerana disana juga ada syaitan yang menggoda dikhuatiri riya' pula yang timbul. Terimalah pujian dengan Alhamdulillah dan Astagfirullah.

Dan saya ambil dari sebuah buku kata-kata Sahl bin Abdullah at-Tustari: Tiada sesuatupun yang lebih susah ke atas nafsu seseorang berbanding dengan ikhlas, kerana nafsu tidak mempunyai apa-apa habuan dalam ikhlas.

Yusuf bin al-Husain ar Razi berkata: Sesuatu yang paling berharga di dunia adalah ikhlas. Banyak kali saya bersusah payah untuk menggugurkan riya' daripada hatiku. Seolah-olah riya' tumbuh didalam hatiku dengan warna yang lain.

Ibnu 'Uyainah berkata : Antara doa Muthorrif bin 'Abdullah:

Ya Allah , aku mohon keampunan-Mu terhadap dosa yang telah aku bertaubat kepadamu, kemudian aku melakukannya semula. Aku meminta keampunan-Mu terhadap apa yang telah aku janjikan kepada-Mu, kemudian aku tidak tunaikannya. Aku meminta keampunan-Mu terhadap sangkaanku bahawa aku hanya inginkan keredhaa-Mu, lalu hatiku bercampur dengan apa yang Kau ketahui.

Hidup baru dengan perbaharui niat. Menuntut ilmu kerana Allah, memasak kerana Allah, menjadi doktor kerana Allah, menyayangi anak kerana Allah, menghormati suami kerana Allah, menulis kerana Allah, bercakap kerana Allah, semuanya kerana Allah.

Tetapi walaupun niat dah betul perbuatan juga kena betul, kenalah mengikut al-Quran dan Sunnah..:) . Semoga tahun baru ini adalah yang terbaik.



No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...