Friday 25 December 2009

Buat sahabat...di bumi ini, kita ditemukan

Malam ni saya cari juga nasyid ni , sebabnya nasyid ni kesukaan sahabat saya. Alhamdulillah episod ceritanya yang hampir 6 tahun dia di bumi Sheffield telah sampai ke penghujung. Dia akan pulang ke Malaysia insyaAllah akan menjadi ummi dan murabbi , jangan lupa lin,doakan kami disini dan jazakumullah khairan kasira..:)

Video yang sesangat ringkas, saya cuba nak upload lagu jer tapi tak boleh kecuali buat video...jadinya koreklah gambar-gambar dalam picasa saya ni. Bersama kita hayati lagu
dan liriknya..


Di bumi ini, kita ditemukan
Satu arah, satu perjuangan
Satu aqidah, satu pegangan
Asasnya terjalin ikatan

Ukhuwah fillah, tidakkan musnah
Walaupun ombak walau badai mendesah
Tautan erat tak mungkin patah
Dengan ismullah kita berbai'ah

Bertemu, berpisah
Hanya kerana-Nya semata
Redha Allah kita cari
Moga-moga kita akan dirahmati
Dengan niat yang suci
Bertemu kembali di negeri abadi

Demikian manisnya, mahabbah murni
Limpahan kasih anugerah Ilahi
Terpancar cahaya penuhi hati
An-nur suci dari-Mu Rabbi

Lambaian kasih di bumi ini
Suburi dengan perjuangan hakiki
Bajai ia jangan dicemari
Redha Allah dipohoni

-1.06am,26 december 2009-

Thursday 17 December 2009

Diari Baru..1 Muharram 1431


1 Muharram 1431,sempena buka diari baru kehidupan, salji kembali turun di bumi UK, mengingatkan diriku setahun telah berlalu.

Pembukaan diari baru yang sangat indah...bersama seputih salju yang yang turun menandakan sangat sempurna ciptaanNya.

Syukur kepada Allah semalam berkesempatan bersama-sama sahabat dan adik-adik mendengar tazkirah ringkas dari wani tentang hijrah. Memahami erti hijrah yang sebenar. Secara ringkasnya bukan semudah lidah melaungkan hijrah...erti sebenar hijrah yang diterima untuk memperolehi ganjaran yang dijanjikan Allah perlulah ia bermula dengan keimanan dan jihad . Semoga Allah beri kita kekuatan bermujahadah untuk berhijrah, ia bukan suatu yang mudah kerana memerlukan pengorbanan jiwa dan harta. InsyaAllah.

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُواْ وَالَّذِينَ هَاجَرُواْ وَجَاهَدُواْ فِي سَبِيلِ اللّهِ أُوْلَـئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ اللّهِ وَاللّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun dan lagi Maha Penyayang." (Al-Baqarah :218)



الَّذِينَ آمَنُواْ وَهَاجَرُواْ وَجَاهَدُواْ فِي سَبِيلِ اللّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِندَ اللّهِ وَأُوْلَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ
"Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan." (At-Taubah:16)



Jazakillah wani dan adik-adik 'tinta nurani' kerana sudi menjemput kakak-kakakmu ini..:) kesempatan dan peringatan yang amat bermakna.

Monday 30 November 2009

Muroqabah

Kali ni aku membaca tajuk Muroqabah dari Riadhus Shalihin helaian ke 82. Apa maksud Muroqabah ni..?

Pertama kali kusampai di UK setiap kali ingin kemana-mana suami pasti pasang 'tom-tom'...(satellite navigation). Dan kekadang tu "tom-tom" bagi bunyi isyarat.

"Abang bunyi apa tu" tanya aku pada suami yang sedang memandu, maklumlah kat Malaysia tak guna pun 'tom-tom' ni.

"Ohh itu isyarat supaya ikut had sebab ada camera kat depan" jawab suami saya.

"Ohhh..ok padanlah asyik-asyik bunyi" balasku ringkas.

Kebetulan memang ada sign board speed camera sebagai peringatan supaya perlahankan pemanduan mengikut had yang dibenarkan. Secara automatik semua kereta perlahan dan sekiranya speed camera tidak berfungsi pun kita akan dapat tahu, ''tom-tom'' bagi tahu.

Itulah salah satu perbezaan yang dapat dirasa rasa di UK. Jika di Malaysia kita tidak tahu dimana letaknya speed cameras/trap , kekadang tu dalam semak-semak tersembunyi , takde signal pun, tahu-tahu dapat surat saman..:) . Kesannya pemandu benci kepada peraturan. Berbeza di UK setiap pemandu mudah mengikut peraturan. Orang-orang UK telah dilatih sebegitu sentiasa rasa diawasi.

Itulah sikap manusia jika rasa diri diawasi pasti kita akan melakukan sesuatu mengikut tatatertib yang ditentukan bukan mengikut kehendak diri sendiri kerana jika terperangkap pasti tidak terlepas kerana telah ada bukti 'live'.

Bagaimana didalam Islam?

Bersama kita renungkan peringatan Allah kepada kita, hambaNya

الَّذِي يَرَاكَ حِينَ تَقُومُ وَتَقَلُّبَكَ فِي السَّاجِدِينَ
"Dialah yang melihatmu ketika engkau berdiri dan juga gerak tubuhmu di antara orang-orang yang bersujud." (asy-Syu'ara': 218-219)


Allah memperingatkan lagi


Seterusnya

إِنَّ اللّهَ لاَ يَخْفَىَ عَلَيْهِ شَيْءٌ فِي الأَرْضِ وَلاَ فِي السَّمَاء
"Sesungguhnya bagi Allah tidak ada sesuatu yang tersembunyi baik di bumi ataupun di
langit."(al-lmran: 5)

Itulah sebahagian ayat-ayat Al-Quran yang Allah peringatkan kita bahawa Allah sentiasa mengawasi hambanya 24 jam sepanjang hayat, segalanya telah direkod dan akan dipersembahkan semula kepada kita suatu hari disana kelak.

Manakala beberapa hadith yang yang berkaitan diantaranya ,

Dari Abu Zar, yaitu Jundub bin Junadah dan Abu Abdur Rahman iaitu Mu'az bin Jabal radhiallahu 'anhuma dari Rasulullah s.a.w. sabdanya:

"Bertaqwalah kepada Allah di mana saja engkau berada dan ikutilah perbuatan buruk itu dengan perbuatan baik, maka kebaikan itu dapat menghapuskan keburukan tadi dan
pergaulilah para manusia dengan budi pekerti yang bagus."
(atTirmizi)

Didalam kitab ini memberi penerangan tentang dua perkara yang dihuraikan pertama Rasulullah mengingatkan kita supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah dimana sahaja.

Ermm..apa maksud taqwa? Apa kaitan taqwa dengan muroqabah?
Cuba kita fikirkan sejenak...Allah itu Maha Penyayang, Allah sentiasa memberi kita jalan atau cara untuk meningkatkan darjat manusia. Contohnya sebagai muslim Allah telah tetapkan dalam setahun ada bulan kita dilatih supaya kita sentiasa muroqabah dengan tujuan dipenghujungnya kita mendapat taqwa. Soalan cepu emas, siapa tahu bulan dan ibadah apakah itu?

Kadangkala manusia tidak terlepas dari membuat kesilapan..
Maha pengasihnya Allah kepada hambanya, untuk membayar 'saman' disetiap kesilapan...bayarlah dengan perbanyakkan kebaikan terutamanya bertaubat supaya terhapus segala keburukan.

Cuba kita bayangkan jika kemana-mana kita pergi kita rasa ada "cctv", pastinya kita tidak akan menyakiti manusia yang lain dan pasti akhlak yang baik akan terjelma dengan sendirinya.

Seterusnya sama-sama kita renungkan pesanan Rasulullah ini..

Abdulullah bin Abbas r.a berkata: Pada suatu hari saya berada dibelakang Nabi Muhammad S. A. W katanya: Hai anak, akan saya ajarkan kepadamu beberapa kalimat:

1. Peliharalah (perintah) Allah, maka Allah akan memelihara engkau, dan peliharalah (larangan) Allah, nescaya kamu dapati Allah selalu dihadapanmu.

2. Apabila kamu meminta, mintalah kepada Allah dan apabila kamu minta tolong mintalah pertolongan dengan Allah.

3. Ketahuilah olehmu, sekiranya ummat manusia sepakat hendak memberi manfaat kepadamu, nescaya tidak akan sampai sesuatu juapun daripadanya melainkan apa yang telah ditetapkan Allah lebih dahulu.

4. Demikian juga sekiranya mereka itu sepakat pula hendak membahayakan kamu, tidak akan sampai bahaya itu melainkan menurut apa yang telah ditetapkan Allah terlebih dahulu.
(atTirmizi)

Fikirkan sama-sama, mujahadah yang paling besar untuk diri kita ialah sentiasa mengingati Allah pada waktu senang...supaya Allah akan mengenal kita diwaktu kita kesusahan. Kerana diantara penerangan yang berkaitan dengan hadith ini adalah bahawa amal yang soleh itu berguna pada waktu menempuh kesulitan. Sejarah nabi Yunus, oleh kerana ia selalu mengingati Allah sekalipun didalam perut ikan, maka selamatlah, ikan itu terdampar ditepi pantai dan keluarlah Nabi Yunus dengan selamat wal'afiat pula.


Didalam tajuk ini ada satu cerita daripada hadith Bukhari dan Muslim. Abu Hurairah telah mendengar nabi s.a.w bersabda tentang tiga orang sahabat, Kusta, Botak dan Buta.

Alhamdulillah dunia kini, maklumat hanya dihujung jari,
cerita ni aku tengok dah lama tapi tak tahu pula diambil daripada hadith.

Selamat Membaca dan Selamat Menonton..







Ingat kita sentiasa diawasi dan jangan mudah lupa diri.

buat diriku yang sering lupa,
-notakecil-ini-

Friday 27 November 2009

Lilly and The Rabbit by NJ


Cerita untuk anak mama...

Masa Jannah umur 5 tahun...masa tu kita di uk masa tu anak mama ni Year 1 di Greenland School. Jannah terpilih dengan 3 orang kawan yang lain untuk pergi ke Darnall Library dan bertemu dengan seorang penulis buku. Mama tak ingat nama dia sebab Jannah pun tak ingat bila mama tanya masa tu.

Mama dapat surat seminggu awal , Jannah akan pergi ke Library pada 24 November..setiap hari Jannah tanya mama bila nak pergi sebabnya masa tu mama belikan Jannah boot, tapi mama bagi syarat Jannah boleh rasmikan masa pergi library nanti..because it's for your special day..:)

Selasa 24 November 2009, seperti biasa pagi -pagi Jannah dah siap dan begitu gembira sekali sebab dapat pakai boot baru ke sekolah ;)

Bila petang tu mama ambil Jannah dari sekolah tak habis-habis Jannah cerita tentang trip ke Library. Jannah cerita pasal author yang Jannah jumpa..dia bacakan buku cerita yang dia tulis kemudian dia bawa baby...she very cute mama..!!I like she..:)

Kemudian sampai dirumah Jannah keluarkan buku kecil yang kosong...Jannah cakap dengan mama Jannah boleh jadi penulis buku cerita.

Satu hari yang membanggakan..

Hari Jumaat tu Jannah bila Jannah balik rumah Jannah keluarkan sesuatu dari beg...
"mama look, I got something because of my effort.. " sambil keluarkan sesuatu dari book bag..

Jannah dapat dua sijil,
sijil pertama sebab buat buku


sijil kedua sebab kedatangan 100%


Kemudian Jannah keluarkan buku cerita yang ditulis hasil ideanya sendiri..dalam usia 5 tahun..:)


Tittle: Lilly and The Rabbit
Author : Nurul Jannah


page 1

page 2


page 3

page 4



page 5

The End

__________________________

-....NJ suatu ketika...-



fashion show family day sheffield..


masa hari lahir yang ke 4
___________

" mama, be patience..be concentrate "
NJ 2009
______________________________

Tuesday 10 November 2009

Mujahadah


Lamanya tak buat usrah..itulah rasa jauh disudut hati..hampir dua bulan usrah diberhentikan sementara memberi ruang Ramadhan hinggalah ke Syawal.

Setelah Syawal melabuhkan tirainya,jari jemariku menaip dan bertanya khabar anak-anak usrah melalui email dan bertanya bila waktu yang sesuai untuk dimulakan usrah? Dua tiga hari menunggu tiada siapa membalasnya.

Hati kecil berkata, sebagai ketua kena buat keputusan dan langkah pertama mesti dimulakan sebelum langkah-langkah seterusnya, yang penting mulakan.

Akhirnya, semasa waktu rehat di 11A bersama makcik-makcik omputih yang sama-sama bekerja, aku mengambil telefon dan menghantar mesej kepada anak-anak usrah, tergambar wajah mereka seorang demi seorang. Anak-anak usrahku...adalah kakak-kakak dan rakan sebaya dan hanya seorang bergelar adik. Mereka juga adalah jiran-jiran yang terdekat yang tinggal di Balfour Road. Walaupun dekat tetapi masing-masing sibuk dengan hal masing-masing. Jika nak kata tak berjumpa, mestilah mustahil, jika ada majlis raya kami pasti berselisih dan bertemu muka. Tapi jauh disudut hati duduk lutut bertemu lutut semata-mata untuk meningkatkan iman itulah yang sangat dirindui.

Mak naqibah..
Sesungguhnya besar tanggungjawab yang dipikul...namun tidak dapat dielak ,itulah ketetapan bagi setiap muslim. Setiap Muslim adalah menjadi pemimpin dan pastinya juga tanggungjawab itu akan dipersoalkan kelak disana.

Itu jugalah yang menjadi kekuatan bagi diriku untuk menyampaikan walaupun sedikit, semua ini untuk diriku dan jawapan apabila dipersoalkan kelak.

Persediaan..
Apa bahan nak buat usrah pertama ni, kepala ligat berfikir dan imbas peristiwa-peristiwa yang berlaku di Sheffield sebulan dua yang lepas...akhirnya ku pilih untuk tadabur Quran surah Al-Hujurat ayat 1-10.


Kemudian diri mengambil kitab lama yang telah lusuh yang menjadi peninggalan dari generasi ke generasi ikhwah dan akhawat Sheffield yang telah balik ke Malaysia.

Kitab lama ini tiada isi kandungan, jadinya aku buka helai demi helai Kitab terjemahan Riadhus Shalihin. Dihelai 118 ku berhenti.."MUJAHADAH"

Jam 5 petang, Selasa di 93 Balfour Road.

Hati menunggu dengan sabar, dihati kecil ada juga terlintas kerisauan ...datang ke tidak mereka ni, diluar dah gelap,hujan agak mula lebat dan ditambah lagi sekarang ni dengan sejuk.

Kedengaran salam dan pintu diketuk..

Ya Allah, kak niza..

Itulah kekuasaan Allah dan Allah yang berkuasa menggerakkan hati manusia.

Kak Niza adalah orang yang aku mengizinkan sekiranya dia tidak hadir. Rumah baru kak niza agak jauh, sebelum ni memang kak niza duduk di Balfour tapi disebabkan landlord nak semula rumah sewanya, kak niza kena pindah. Rumah kak niza ada dalam 5 minit berjalan kaki , melintas jalan dan kawasan rumah agak tinggi dan dalam hujan pastilah jalan licin.

Dalam hujan agak lebat, bersama empat orang anak yang masih kecil kak niza datang juga usrah petang tu walaupun didalam keadaan basah. Kemudian beberapa minit kemudian kak zu datang .Hati tertanya-tanya anak usrah ku yang seorang ni, biasanya dialah yang datang awal.

Telefon bimbit kuambil dan menelefonnya...oh rupanya dia terlupa sebabnya dua bulan lepas biasa usrah buat hari khamis. Aku hanya tersenyum...hari pertama.

Kemudian ku tunggu lagi seorang dan tetiba dapat mesej.."yati mulakan dulu saya datang lewat cket..ayuni masih tidur". Hatiku berkata itulah kesabaran wanita bergelar ibu.

Akhirnya 5.30 petang usrah dimulakan..
Setelah tilawah dan tadabur Quran...

MUJAHADAH- PERJUANGAN MELAWAN HAWA NAFSU

Tajuk ini sebenarnya dipilih adalah untuk diriku sendiri kerana telinga yang mendengar ini lebih dekat dengan mulut yang berkata. Tajuk ini juga sebagai pembuka kekuatan kepada anak-anak usrahku untuk hari-hari yang mendatang.

Beberapa cebisan ayat quran dan hadith yang moga-moga menjadi kekuatan kita diketika iman naik dan turun.

"Mereka yang berjuang untuk keredhaan Kami, pasti Kami tunjukkan jalan Kami, dan Allah tetap bersama orang yang berbuat baik" (Al_Ankabut 69)

"Dan segala apa yang kamu usahakan untuk dirimu dari kebaikan, tentu kamu akan mendapatkannya disisi Allah iaitu yang baik dan besar pahalanya" (Al- Muzammil 20)


Abu Hurairah r.a. berkata : Rasulullah s.a.w bersabda:
Seorang yang lebih kuat iman, lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mu'min yang lemah. Dan masing-masing ada kebaikan sendiri-sendiri. Rajin-rajinlah mengerjakan apa-apa yang berguna dunia dan akhirat, dan selalu memohon bantuan kepada Allah, dan jangan lemah. Kemudian jika kau terkena sesuatu, jangan sekali-kali mengatakan: kalau aku buat begini nescaya terjadi begini. Sebaiknya kau harus berkata : Telah ditakdirkan Allah dan Allah berbuat sekehendaknya, kerana perkataan kalau memberi jalan gangguan syaitan. (Muslim)

Usrah pertama yang penuh bermakna .Syukur setinggi-tingginya kepada Allah yang masih memberi kami berada dijalan ini.

Monday 9 November 2009

lagu untukku...

Abu Karimah Al-Miqdad bin Ma`dikarib (May Allah be pleased with him) reported: The Prophet (PBUH) said, "When a man loves his brother (for Allah sake) let him tell him that he loves him".
[At-Tirmidhi and Abu Dawud].




lagu ni saya terima daripada seorang lelaki semasa warna-warni muslimah yang lepas..:)

terima kasih abang...semoga kita m
emperolehi kebahagiaan didunia dan diakhirat dan juga abang dipermudahkan dalam phd, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul..InsyaAllah dirimu sentisa didalam doaku.


Tangisan sanubari telah terhenti
Kala suram suria memancar sinarnya
Pertemuan seindah bayangan firdausi
Menjadi zikir kasih yang suci

Lukisan dua jiwa menjadi satu
Terkenang detik bertemunya kau dan aku
Santun berhikmah mengingatkan diri
Hidup dan mati hanya untuk Ilahi

Mengenggam janji cinta ini
Bertemu kasih tanpa jasad
Bicara tanpa suara
Hanya tulisan bahasa indah
Mengeratkan antara kita
Hinggalah ke akhirnya

Kau ku sanjung kerna pengorbanan
Bagai puteri di kayangan
Tika ku lesu hadapi hidup
Kau hembuskan nafas semangat
Penawar hati

Sunday 1 November 2009

dedaun yang luruh..

Oktober datang menjelma, kedinginan mula terasa dan yang paling kutunggu pabila dedaun yang kehijauan bertukar menjadi keemasan. Pemandangan yang sangat cantik dan suasana yang damai terasa bersama angin sepoi-sepoi bahasa dan langit cerah kebiruan. Bunyian langkah kaki tatkala kaki memijak daun-daun kering yang menutupi tanah bagaikan lataran muzik mengiringi . Melihat telatah Jannah bermain dengan dedaunan kering itu sungguh menghiburkan. Dalam masa itu ku tersedar begitu pantas masa berlalu, kini aku hampir dipenghujung 2009.

kepala kuligat berfikir....bermuhasabah...

Ku amati alam..deruan angin yang bertiup membuatkan dedaun kering yang indah berterbangan lalu gugur ketanah satu demi satu.

Itu pohon yang sentiasa berzikir mengingati pencipta-Nya, dan aku ? Suatu masa nanti akan bersemadi jua ketanah seperti daun-daun yang kering itu.


Musim berganti dengan pantas, namunsetiap apa yang kulakukan telah tercatit dan tidak ada satu pun yang terlepas dan aku akan ditanya disana kelak. oh, di belah mana timbanganku? Ya Allah ampuni hambamu yang lemah ini ya Allah..

Sesungguhnya Allah masih sayang kepada diri yang alpa ini lantas mengetuk hatiku dengan dedaun kering yang luruh.

Friday 23 October 2009

phonics..ohh phonics

Semalam ada perjumpaan dengan cikgu kelas Jannah. Masuk-masuk jer kelas, Mrs Palmer senyum memanjang. Belum sempat saya tanya apa-apa Mrs Palmer dah cakap dulu

"I have nothing to comment, Jannah is very clever, clever little girl"

Jannah yang duduk disebelah senyum jer.

"She is very good in reading and writing" puji Mrs Palmer lagi.

"yeahh, she can write but the spelling is not good" saya cuba nak tahu sebenarnya standard sekolah, macam mana yang dikatakan bagus.

Kemudian panjang lebarlah Mrs Palmer terangkan. Dia kata pada umur Jannah sekarang apa yang difokuskan adalah boleh membaca dan menulis dengan baik . Maksud menulis dengan baik ni kita boleh baca walaupun ejaan tak betul ini disebabkan kaedah phonic yang digunakan. Salah satu kesannya adalah boleh menulis dan kita boleh faham apa yang ditulis mengikut bunyi.

Mrs Palmer tunjukkan buku latihan Jannah dan bandingkan dengan kawan-kawan yang sebaya dengannya, memang Jannah berbeza, cumanya ada benda yang kena ditekankan pada penggunaan capital letter pada permulaan ayat.

"Don't let she feel down because of the spelling" peringatan Mrs Palmer pada saya.

Dalam hati saya itulah sistem pendidikan disini memang sentiasa positif pada anak-anak, yang baik perlu di highlight kan dan yang lemah diperbaiki..:)

Bila tengok Jannah menulis saya teringat masa saya pergi kelas phonic di sekolah Jannah, ada dalam tulisan yang lepas.. Belajar membaca

Masih ingat lagi, dalam kelas tu kami diberi satu cerita dan kami dikehendaki membacanya dan menulis semula dengan ejaan yang betul..terkial-kiallah saya nak membacanya.


Itu cerita semalam,

Hari ini....

"Mama...can you send me to Izzati house?" tanya jannah pada saya yang sedang duduk mengadap pc.

"Mama...can you send me to Izzati's house..? please!" tanya lagi sebab saya tak layan.

"I want to give this card to Izzati " sambil tunjukkan kad yang dibuat daripada kertas A4 yang diambil dalam laci ayah...:) (habislah kertas ayah..)

Inilah kad yang dibuatnya..sepanjang duduk disebelah mamanya yang sibuk mengadap pc.


(tak perasan tarikh tak set betul..)

Ada lukisan dan sedikit nota .



close up..try to read

Seimbas lalu macam pernah jumpa gaya penulisan ni..:) . Inilah tulisan anak-anak acuan phonics .

reeyley >> really
hoaw>>whole
wid>>wide
meetyg>>meeting



inilah dia tuan punya tulisan..:)>>

Wednesday 7 October 2009

Jom...ke WWM 2009


Maklumat lanjut di http://warna-warni-muslimah.blogspot.com

Jannah..kemalangan di hari raya


Ahad lepas kami buat open house sempena raya ni...keputusan nak buat ni buat lambat...entah macam mana saya dan suami buat keputusan untuk buat. Open House bermula dari pukul 12.30 petang hingga 5.30 petang. Saya berperang didapur selepas maghrib hari Sabtu, itupun lepas balik beraya....sampailah ke pukul 5 pagi. Hehehe maklumlah setahun sekali masak banyak-banyak. Menu saya mee kayam (kari + tomyam) satu periuk besar untuk 60 orang makan, rendang 3 kilo, rojak buah , nasi empit, pulut kuning dan kek coklat. Pagi tu memanglah sangat sibuk untuk siapkan hidangan semua dan sampailah pukul 12.00 tengahari dah ad atetamu yang datang. Kemudian tak henti-hentilah orang datang berziarah dihari raya ni. Suasana sangat meriah termasuklah Jannah dan kawan-kawannya.

Kebetulan dihadapan rumah saya rumah kak su...dia pun buat open house jadinya memang ramailah orang dilorong kawasan rumah kami.

"yati...yati.." ada suara yang memanggil, saya didapur sibuk menambah rojak buah. Saya segera keluar dari rumah.

"yati..jannah..jannah" muka suZ pucat yang cuba memberitahu saya sesuatu.

"Jannah kena langgar kereta", dalam masa yang sama Jannah menangis berlari kearah saya. Air mata saya dah turun tanpa disedari, saya peluk jannah dan buka tudung yang dia pakai sebab dalam kepala saya periksa kepala dia jika berdarah. Alhamdulillah tiada.

Suami saya terus dokong Jannah bawa keatas untuk pujuk kerana Jannah dalam keadaan terperanjat dan ketakutan. Kebetulan dalam rumah saya ada seorang doktor dan dialah yang memeriksa Jannah jika ada apa-apa kecederaan yang dialami. Alhmdulillah tiada apa yang cedera. Cuma tangan ada sedikit bengkak tapi setiap jari masih berfungsi dengan baik.

Suasana dirumah bertukar senyap sepi....pelbagai rasa sedih , ngeri syukur jannah takder apa2.

Apa yang berlaku kepada Jannah sebenarnya...

Dalam ramai-ramai tu saksi yang melihat adalah abang shukri , jiran kami selang beberapa buah rumah kebetulan memang berada ditepi jalan melihat budak-budak bermain.
Jannah nak melintas jalan dari rumah kak su kerumah saya..dia tengok ke kiri dan kekanan, belum sempat dia melintas ada sebuah kereta putih datang dengan laju dan bahagian belakang kereta terkena bahagian kanan belakang jannah dan jannah berpusing dan terjatuh. Kemudian jannah bangun dan berlari sambil menangis mencari saya. Semua yang nampak memang mengatakan ngeri.

Kawan-kawan telefon ambulan dan polis. Kereta yang melanggar Jannah adalah seorang anak muda berbangsa Pakistan dan jiran dihadapan rumah kami.
Pendek cerita ambulan sampai, saya dan jannah dibawa ke hospital kanak-kanak untuk pemeriksaan doktor. Dalam menunggu lebih kurang 3 jam sebelum berjumpa doktor jannah bermain-main, melompat-lompat , gelongsor di tempat bermain dengan gembiranya. Saya memerhati dari jauh...bila tengok jannah gembira seolah-olah tiada apa berlaku pada dia....ahhh itulah budak namanya, dalam hati saya berkata.

"Nurul Mohd Luqman" nama dipanggil.

Kami masuk dan doktor buat pemeriksaan seluruh badan jannah, tulang dan jika ada bengkak-bengkak. Semuanya normal cuma sedikit sahaja bengkak di tangan. Kemudian kami dibenarkan balik tetapi doktor meminta saya mengawasi jannah jika dia ada rasa sakit selepas itu.

Semasa didalam kereta

"Ayah..tadi jannah naik ambulan, ayah tak naik" kata jannah dengan nada gembira...

Saya dan ayahnya hanya tersenyum.

Sampai dirumah, suasana dirumah kosong, makanan didapur dan di atas meja telah berkemas, semua makanan dibawa ke rumah kak su, sayu juga dihati saya. Terima kasih yang terhingga kepada sahabat-sahabat yang membantu dan mendoakan keadaan jannah, jazakallahu khairan kasira. Maafkan kami kerana kedatangan tetamu yang tidak sempat disambut. Kejadian sekelip mata mengubah suasana.

Setelah jannah berehat dan makan malam saya bertanya pada jannah apa yang berlaku,

" I play police-police, my friend want to catch me and my two friends already crossed the road, I look right and left and I saw a white car very fast and then that car hit me" jannah cerita pada kami.
"I'm scared mama when the car hit me" saya peluk jannah.

Keesokkan hari jannah ngadu dia sakit belakang...saya sapu minyak gamat dan dia rasa ok, tapi saya dan suami rasa tak sedap hati dan dalam pukul 12 tengahari kami bawa dia ke hospital lagi. Semasa menunggu badan jannah panas, dia terbaring atas riba saya dan dia kata dia mengantuk dan tertidur sampailah doktor panggil.

Sampai dibilik doktor minta jannah melakukan beberapa pergerakkan, jannah dengar arahan dengan baik..:), cumanya doktor kata suhu badan jannah tinggi telah mencecah 37 cdan doktor terus bagi dia paracetemol dan kena duduk play area beberapa jam untuk pastikan suhu turun. Doktor sempat lagi tanya nak air jus tak? Jannah kata dia nak orange jus...:) Kami pun duduklah hospital sehingga suhu badan jannah turun. Kali kedua nurse datang periksa suhu..namun suhu badan jannah tak turun juga dan jannah diberi ubat demam yang agak kuat, kami tunggu lagi dua jam. Akhirnya dalam pukul 5 petang setelah suhu badan jannah turun kami dibenarkan pulang.

Malam tadi semasa tidur Jannah terjaga-jaga dan menangis..mama scared...
saya peluk dia cuba tenteramkan perasaan takut dan badan jannah panas, ayah jannah bagilah ubat demam dan minta jannah minum air banyak-banyak. Kami pun kejap-kejap bangun risaukan jannah.

Selepas ini pasti jannah tahu kenapa mama dan ayah tak bagi jannah bermain diluar....because we love u very much.

Wednesday 16 September 2009

Majlis Warna-Warni Muslimah 2009

Nantikan kemeriahannya...

WWM 2008..:)..berkenalan dengan warga Sheffield
saya suka lagu latar video ni...;)

Wednesday 9 September 2009

090909-Happy Birthday Angah..

Tarikh ni memang saya sukar nak lupakan, nombornya simbolik 999. Selamat Ulangtahun Kelahiran yang ke 33 buat seorang kakak yang sangat istimewa dalam diri saya, HAPPY BIRTHDAY ANGAH..:)

Angah yang garang tapi kelakar..:) Bila saya di UK ni rindu dengan dia..rindu nak dengar cerita dia dengan anak-anak muridnya. Setiap kali telefon mesti dia bercerita ragam anak-anak murid dia. Pernah sekali dia cerita dia nak buat kelas tambahan matematik, kemudian seorang murid lelaki bangun

"cikgu saya tak datang kelas petang ni" kata muridnya
"kenapa awak tak dapat datang" tanya kakak saya
"kejer cikgu, pergi potong sawit" jawabnya jujur
"baiklah, kamu pergi kerja, kerja.. jangan curik tulang plak" jawab kakak saya selamba
"cikgu..cikgu" tersenyum murid lelaki tu.

hehehe..mendalam betul kata kakak saya ni..saya dengar pun tergelak, betullah kakak saya ni

Minggu pertama puasa saya telefon dia..telefon telefon tak berangkat. Kemudian pukul 6 pagi telefon saya berdering...siapa pula telefon pepagi ni, tengok skrin di telefon Angah. Tak pernah-pernah angah telefon saya kat UK ni.

Saya angkat , rupa-rupanya hari tu dia menang cabutan bertuah dan tanya saya nak ambil ker tidak hadiah yang kena bayar separuh dari harga sebenar. Angah telefon saya semata-mata nak tahu pendapat saya berbaloi tak hadiah yang dia dapat tu dengan harga yang diberi...punyalah saya bagi pendapat kemudian dia cakap dia dah bayar lebih dari separuh...apalah angah ni..:D

Kemudian

"Alang, angah nak sponsor ayah pergi haji, insyaAllah tahun depan angah hantar ayah pergi haji" kata angah pada saya dengan excitednya sebab dia baru dapat naik gaji sebab dapat anugerah Guru Cemerlang beberapa tahun berturut-turut..

"Alang pun nak sponsor jugak" kata saya. Hati saya memang lama berniat untuk tolong ayah pergi haji.

"Takperlah lang, angah jer sponsor" angah yang cuba mengerti yang adiknya tidak bekerja.

"Takperlah ngah alang nak share pahala, alang dah kejer sekarang kat uk"

"kejer apa?"tanya angah

"biasalah ngah, kejer apa lagi kat cni cleaner lah"

"oo...angah memang tahu alang minat kejer tu,,,sesuai dengan alang", sempat lagi perli saya...kami tergelak.

"ok..ok kita share pahala...alang sponsor duit kocek ayahlah nanti ok"

"ok" jawab saya.

Lama juga borak dengan angah ni. Kekadang saya jeles dengan angah sebab angah ada duit untuk tolong ayah, saya??? Walaupun telah bergelar isteri tetapi saya takkan berpuashati jika saya tak dapat membantu ayah. Saya nak ayah dapat rasa serba sedikit pengorbanan dia membesarkan saya hingga saya ke universiti walaupun dia tidak pernah meminta. Ayah...ayah.

InsyaAllah..alang nak share pahala dengan angah..:)

Angah, walaupun alang tahu angah memang takkan baca tulisan alang ni (angah memang tak layan internet ni...tak sempat dia kata..) tapi alang nak abadikan kat sini juga..:)
alang sentiasa doakan angah dan keluarga sentiasa istiqamah dan dirahmati Allah sentiasa.

Sunday 6 September 2009

Peluang terbuka..


wahai isteri,
di bulan Ramadhan,dirimu dikurniakan kekuatan,meninggalkan tilam empuk dalam kesejukan,bangun semata-mata untuk sahur,
untuk suami dan anak-anak tercinta,

namun,sedarilah peluang tahajudd terbuka disana,
kekuatan telah ada,
cumanya,
diawal pagi itu,
sebelum kesibukan di dapur,
menanti sahur,basahlan dirimu dengan wudu',
bersedia untuk bertemu denganNya, bermunajat merintih dan merayu,

wahai diri ini,
Bangunlah malam untuk mencari ketenangan,

Bangunlah malam untuk mencari kekuatan,
Bangunlah malam untuk mencari keampunan,
Bangunlah malam untuk mencari jawapan,
Bangunlah malam untuk mencari ketelusan,
Bangunlah malam untuk mencari kasih sayang,

Ya Allah, Sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf,
Engkau menyukai Pemaafan, Kerana itu berilah maaf kepadaku,

semoga didikan di Ramadhan,semoga kemanisan di Ramadhan,akan digenggam walaupun Ramadhan berlalu.

Thursday 20 August 2009

Kasihku Pada Ramadhan

Selamat menyambut Ramadhan buat semua. Semoga disepanjang bulan Ramadhan diri kita dipenuhi dengan semangat bukan dengan kelesuan untuk mendapatkan segala keistimewaannya. Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna.

Kasihku Pada Ramadhan

Ramadhan yang penuh makrifat
Ramadhan ditunggu-tunggu
kembali menjengah hati setiap Muslim
memekarkan keberkatan dan kebesaran
Yang Maha Kuasa

Ramadhan yang menyejukkan hatiku
yang melembutkan kerasku
yang mendamaikan gelodak rasaku
yang menghilangkan amarahku
yang menghadiahkan penghargaanku
buat insan-insan tersayang
yang menambahkan cinta kasihku
pada Yang Satu

Ramadhan
syarul Syiam
berikan aku kekuatan akal, fizikal, hati dan iman
jauhkan aku daripada perkara yang dikeji
yang mengurangkan keberkatan
ya Mutakkabir

Ramadhan
syarul Qiyam
malam-malammu malam terindah dalam hidup
malam-malam yg penuh ibadah
malam-malam yang penuh berkat
lalu,
haruskah aku membiarkan malam-malammu berlalu sepi
tanpa sujud syukurku pada
Ar-Rahman
Ar-Rahim

Ramadhan
syarul Quran
bait-baitmu adalah puisi agung
yang menyuntik penawar terbaik buat hati dan jiwaku
patah perkataanmu adalah keajaiban
adalah mukjizat dengan nikmat yang tertinggi
yang menjadi peganganku
penunjuk arah dalam langkah perjalananku
yang menyalurkan kasih suciku buat Yang Maha Agung

Ramadhan
syarul Tarbiyah
hari-harimu adalah satu didikan buatku
yang menundukkan egoku
yang menghilangkan rasa dendamku
yang menjernihkan segala keruh dihatiku
yang memupuk keinginanku menghayati sifat kekasih Allah
yang mulia disisi-Nya

Ramadhan
syarul Jihad
pada setiap langkahku
setiap degup nafasku
setiap denyut nadiku
setiap detik ingatanku

Islam
adalah matahari bagi hatiku
bulan bagi jiwaku
bintang bagi mataku

Ramadhan
perjuanganku menggapai solehah baru bermula
pertemukan aku pada ketibaan-ketibaanmu yang akan datang
rasa rindu dan kasih ini akan selalu mengiringiku sepanjang waktu
selama mana nafas masih menjadi milikku

YA ALLAH
sesungguhnya Engkau tahu setiap bait puisi hatiku

from: I Luv Islam

Wednesday 19 August 2009

Jauh Berjalan Luas Pandangan

Mak dan abah datang uk hanya 3 minggu, minggu pertama kami bawa pergi wales, minggu kedua pula selepas 2 hari berehat kami bawa pergi tempat lama kami masa suami buat master 2003 di newcastle , tidur semalam dan paginya kami bawa mak pergi Edinburgh. Kemudian bak kata orang jika dah sampai UK taksah kalau tak jenguk London, kami yang hampir 3 tahun duduk UK pun belum sampai London, mungkin saya dan suami lebih berminat countryside daripada bandar metropolitan..:) . Semua itu dalam masa seminggu...:) ermm..saya terfikir, bestnya jika mak dan abah selalu datang boleh saya dan jannah jalan selalu...;) pening suami saya..hehehe. Harap-harap mak dan abah datang lagi boleh kita pergi europe pula yer.

15 Ogos mak dan abah balik Malaysia..masa hantar mak dan abah kat airport rasa macam nak ikut balik jer...hehehe tapi misi belum selesai, kena selesaikan dulu, doakan kami yer mak abah , supaya segala urusan dipermudahkan.

nota bergambar..:)

>>Pembrokeshire, Wales-31 Julai-2 Ogos 2009



>>6 Ogos 2009 Newcastle & Edinburgh







>> 7 Ogos 2009 London

sesaknya London


sungai Thames-abah kata macam sungai kelang jer..:)


Tuesday 4 August 2009

syukur-PERKEMAS09

Draft , saya tulis selepas daripada camping tetapi separuh jalan sebabnya lepas dari camping terus pergi jalan-jalan bawa mak dan abah pusing-pusing UK.

Alhamdulillah hari ni berkesempatan untuk siapkan -notakecil- perkemas09 .
_____________________________________________________________

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada) pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran”
Al-Baqarah : 164


Setingi-tinggi kesyukuran kepada Allah s. w. t diatas segala-galanya.

Hari-hari yang ditunggu telahpun tiba, Jumaat, 31 Julai 2009 saya bersama suami telah bersiap-siap menyusun barang untuk menghadiri perkhemahan tetapi bukan sebagai peserta tetapi sebagai penganjur. Pastinya keperluannya sangat berbeza dan penuh barang-barang sampai kena pangku diatas riba, kesian tengok mak dan abah, tapi mak dan abah sangat memahami .

Kami tiba pada pukul 2 petang, cuaca disana tidak hujan tetapi deruan angin sangat kencang. Kami terlambat sedikit kerana ada 2 peserta yang telah sampai awal. Kami sekeluarga cuba juga memasang khemah dalam keadaan angin yang sangat kuat. Awal percubaan kami hampir-hampir berjaya tetapi entah macam mana tiupan angin yang sangat kuat telah mematahkan satu pole. Namun kami tidak putus asa dan dikalangan kami ada seorang abang yang sangat berpengalaman dalam berkhemah di Malaysia telah memberi idea dan kami sekali lagi cuba mendirikan khemah dan akhirnya khemah kami berjaya didirikan.

percubaan menaikkan khemah dalam susana angin kencang

Siap jer khemah kami terus mengisi perut yang lapar. Sempatlah kami makan nasi lemak dengan sambal tumis ikan bilis dan petai (mak masak..:)) dan solat dan berehat seketika didalam khemah.


sempat makan nasi lemak dalam khemah

Angin semakin kuat...meliang liuk khemah kami sampai mencecah kepala dan suami terus minta kami kemas-kemas barang dan pindah ke bunk house dan kami tidur disana. Hujan turun dengan lebat dan angin menderu dengan kencang, malam tu kami bersama peserta yang lain tidur didalam gazebo yang mempunyai camping bed yang disusun dalam dua barisan dan setiap barisan ada dalam 20 camping bed.


"yati kenapa termenung" tegur kak anom yang duduk depan katil saya.

"macam pelarianlah kak" jawab saya sambil ketawa kecil. Dalam hati macam ni agaknya rasa mereka yang jadi mangsa perang atau bencana alam, yang takder tempat tinggal dan bergantung kepada khemah-khemah yang disediakan.

Saya risau dengan peserta tentang keselesaan dengan anak-anak dan beg-beg lagi, namun diriak wajah mereka , mereka semua telah bersedia dan bersedia untuk 'camping' walaupun macam mangsa banjir...;) Malam tu angin bertiup kuat menderu-deru bunyinya tambah lagi bunyi ombak laut, doa semoga semuanya selamat, entah bila mata terlelap hari dah subuh.

Mendung bukan selamanya...keesokkan harinya cuaca sangat indah dan semua peserta tersenyum gembira terlupa tentang semalam.


Sarapan pagi, tengahari dan malam kami telah dimasak oleh chef dari Sheffield..:) suami isteri iaitu Pn. Sal dan En Mahathir. Gandingan yang sangat mantap bab makanan dan masak berjalan dengan lancar dan tepat pada masanya. Terima kasih pada Sal dan Mahathir.


sibuknya chef kita ni..:)

Program dapat berjalan seperti dirancang..sea side tracking, tractor on the farm dan pertandingan layang-layang.


berehat sambil tadabur quran setelah berpenat berjalan naik turun bukit

sukanya budak-budak ni naik tractor

indahnya lukisan alam

tengok sana lembu ker kuda?



Pengalaman pertama saya membuat layang-layang sendiri.

"mama every family make kite, come on mama" sambil menarik tangan saya untuk mengambil bahan-bahan membuat layang-layang.

Saya toleh kekiri kekanan mencari ayah Jannah....tapi tak nampak pun, agaknya pergi kekedai mencari barang.

Bagi tidak menghampakan Jannah saya cuba juga buat dengan meniru ayah Dina yang berada dimeja sebelah bersama anak-anaknya dan isterinya, Kak Niza. Setelah selesai menoleh kekanan supaya tidak terlepas step , akhirnya layang-layang saya siap untuk dibawa kepadang dan cuba menaikkannya. Awal percubaan layang-layang berpusing-pusing..kemudian saya koyakkan sedikit sayap dibahagian yang berat (tips dari ayah Dina..) dan dengan sedikit bantuan ayah Mira layang-layang saya berjaya terbang. Gembiranya rasa dan yang paling gembira tentulah Jannah.


peserta bermain layang-layang

Anak-anak ada program dan sukaneka mereka sendiri dibawah Program Tunas Taqwa. Antaranya lari kaki tiga. masa lari kaki tiga jannah kena ikat kaki dengan husna,

"urgh...she so small" sambil ikat kaki kanan dan kaki kiri husna sama. Kami tergelak dengar..:)

Winners- lari kaki tiga-jannah,habsah,izzati dan husna (walaupun kecil tapi kuat lari..:))


bukan main layang-layang jer..main basikal pun ada...:) ish2 seronok betul tengok, teringat zaman kanak-kanak dulu kala.

Kepada mak dan abah pula kami minta maaf sampai-sampai di UK dah kena tidur dalam bunk house beramai-ramai...:) Mak dan abah.. itupun tarbiahkan :) Terima kasih juga pada mak dan abah kerana memberi sokongan dan tak lupa juga memberi komen kepada kami..;)

Masa seaside tracking abah kena jaga 6 pahlawan muda..:)

Abah bersama cucu-cucunya. Katanya "handal-handal semua":)

Tahniah pada mak...walaupun tidak berapa sihat tetapi masih ada semangat untuk naik dan turun bukit..menjadi pembakar semangat pada yang muda-muda...tengok mak dah sampai atas kami terus laju :)


the art of nice shot- thanks to angah n yam..;) dapat akak skill ambil gambar ala-ala pro :)







Bergambar dengan mak kat lereng bukit...sayup-sayup laut dibawah

mak dan menantunya...:)

Hari Ahad kami pulang terus kerumah...semua dalam keletihan terutama suami saya sebabnya dia yang memandu..berapa kali berhenti di service (kat Malaysia dipanggil R n R ) untuk berehat dan tidur seketika. Alhamdulillah kami selamat sampai. Walaupun keletihan kami tetap gembira, syukur Alhamdulillah. Selain dapat menikmati keindahan alam kami dapat berkenalan dengan rakyat Malaysia yang bukan sahaja di Sheffield tetapi diseluruh UK. Jika ada peluang kita jumpa lagi tahun depan, insyaAllah.


Kenangan indah bersama

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...